PAC tinjau keretakan MRR2 esok
Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan meninjau kerja-kerja pembaikan keretakan tiang jejambat Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) esok.
Pengerusinya Datuk Seri Azmi Khalid berkata PAC akan memanggil pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kerja Raya untuk memberi penjelasan mengenai keretakan yang berulang di jejambat itu, lapor Bernama .
Menyentuh sama ada Datuk Seri S Samy Vellu akan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung masalah itu, Azmi berkata bekas menteri kerja raya tidak akan dipanggil memandangkan beliau bukan lagi menteri bertanggungjawab.
"Kita akan panggil JKR dan jika perlu menteri yang bertanggungjawab untuk memberi penjelasan," katanya.
Pada 3 Ogos, tiang jejambat MRR2 - yang dibina dengan kos RM238 juta dan telah dibaik pulih menggunakan belanja tambahan sebanyak RM70 juta - mengalami keretakan sekali lagi apabila tiga daripada 18 batang plastik diperkuatkan gentian karbon (CFRP) prategasan yang dipasang pada struktur itu didapati putus tiba-tiba.
Ekoran itu dua daripada enam lorong jejambat sepanjang 1.7 kilometer ditutup kepada semua jenis kenderaan untuk proses baik pulih.
Sementara itu, tokoh utama DAP Lim Kit Siang pula menggesa Azmi meletakkan jawatan sebagai pengerusi PAC kerana beliau sendiri anggota kabinet sewaktu keputusan membaiki MRR2 dibuat dua tahun lalu.
Dalam kenyataannya hari ini, ahli parlimen Ipoh Timur itu menyifatkan pembabitan Azmi dalam siasatan keretakan itu sebagai "pertembungan kepentingan yang terang-terangan."
Pada 9 Ogos 2004, laluan itu ditutup kepada lalu lintas berikutan 31 daripada 33 tiangnya mengalami keretakan dan dibuka semula pada 6 Dis 2004.
Pada 4 Feb 2006, sekali lagi jejambat itu ditutup ekoran masalah yang sama dan dibuka semula enam bulan kemudian.
Lim berkata, dalam sidang Dewan Rakyat lepas, beliau pernah membangkitkan ketegangan antara Samy Vellu dengan ketua pengarah JKR berhubung kos dan kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikian MRR2.
Akibat konflik tersebut, tambah Lim, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa campur tangan dalam satu pertemuan pada 3 Februari 2006 yang melibatkan ketua setiausaha negara waktu itu Tan Sri Samsudin Osman dan menteri kewangan II Tan Sri Nor Mohamad Yakcob.
"Samy Vellu menang pertarungan pertama dengan JKR pada mesyuarat tersebut tetapi tewas kemudiannya," kata Lim lagi.
"Walaupun Samy Vellu mengumumkan pembaikian MRR2 akan diselia oleh Halcrow, perunding dari Britain dengan kos RM18 juta, pertarungan itu akhirnya dimenangi oleh JKR dalam satu mesyuarat kabinet dua minggu kemudian yang menggunakan usulan JKR untuk menganugerahkan kerja-kerja pembaikian kepada firma perunding Jerman, Leonhardt Andra and Partners (LAP) pada kos RM40 juta, yang kemudiannya secara misteri meningkat lagi kepada RM70 juta!"
Lim mencadangkan Azmi mendedahkan dalam siasatan PAC nanti butiran mesyuarat kabinet tentang MRR2 antara 2004 hingga 2006 yang memutuskan untuk memberi kontrak kepada LAP, dan bukannya Halcrow, dengan peningkatan kos sehingga lebih tiga kali ganda.
"PAC dalam sidang Parlimen lepas bertemu sebanyak enam kali berhubung keretakan MRR2 sejak 2004 tetapi tujuannya tidak jelas. Ia berjaya membangkitkan beberapa persoalan tetapi sehingga kini diabaikan oleh banyak jabatan (kerajaan)," katanya.
"Tambahan, laporan-laporan PAC menunjukkan sesetengah pegawai kerajaan menghina Parlimen apabila menyembunyikan maklumat penting dan mengelirukan PAC dalam siasatannya berhubung skandal keretakan jejambat MRR2.
"Apakah mesyuarat PAC berhubung jejambat MRR2 di Kepong kali ini akan berbeza?"

