Forum: Salahuddin 'pantau' ahli PAS
Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub berkata kehadirannya di perhimpunan membantah forum 'Memeluk Islam' baru-baru ini bertujuan memantau penyokong parti itu agar "tidak bertindak kasar dan melakukan perkara yang tidak diingini."
"Saya bimbang berlaku provokasi sehingga mencetuskan perkara yang tidak diingini," katanya ketika diminta mengulas penyertaannya di depan bangunan auditorium Majlis Peguam, Sabtu lalu.
Salahuddin, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian, turut berucap di perhimpunan bantahan tersebut.
"Kita dicabar di bawah Perkara 121 (A). Mereka tahu undang-undang, tetapi mahu mencabar agama Islam.
"Kalau mereka hendak tahu (tentang) Islam, mereka boleh jumpa pegawai Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya di depan ratusan penunjuk perasaan daripada PAS, PKR dan 29 badan bukan kerajaan, termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Kebajikan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
Dihubungi Malaysiakini hari ini, beliau menambah tajuk forum "Memeluk Islam" boleh mengundang salah faham dalam kalangan orang awam yang beragama Islam.
Katanya lagi, beliau menyokong perbincangan secara intelektual tetapi hendak diadakan secara tertutup kerana isu ini "sensitif."
"Mana-mana pihak pada masa akan datang yang mahu membincangkan isu-isu sensitif, cara terbaik adalah melalui pertemuan tertutup," katanya.
"Jika Majlis Peguam mahu mendapatkan penjelasan mengenai Islam, mereka perlu memanggil mufti, ulama dan cendekiawan Islam untuk berbincang dan mendapatkan penerangan."
Ketika ditanya cadangan sesetengah pihak agar kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pemimpin Majlis Peguam sebagai penganjur forum tersebut, Salahuddin membantahnya.
Katanya, jika benar kerajaan menganggap Majlis Peguam telah melakukan kesalahan, ada cara lain untuk mengambil tindakan.

