K'jaan digesa benar isu dibincang
Timbalan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun menggesa supaya isu-isu dibenar diperbincangkan dan tidak menganggap setiap isu sebagai sensitif.
Malah, katanya, forum anjuran Majlis Peguam menjadi wadah untuk pelbagai pihak menyertai perbincangan secara aman untuk mencari penyelesaian.
Forum tersebut Sabtu lalu terpaksa dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibupejabat majlis tersebut, tempat forum itu diadakan.
Ketua Polis Dang Wangi, ACP Dzulkarnian Abdul Rahman, dilaporkan berunding dengan Majlis Peguam supaya menghentikan forum tersebut.
Manakala Pengerusi Majlis Peguam, Datuk S Ambiga pula dilaporkan memberitahu forum tersebut bahawa polis telah menasihatkan agar ia ditamatkan pada jam 10 pagi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Chew berkata forum anjuran Majlis Peguam itu tidak berniat untuk mencetuskan kontroversi tetapi untuk menangani masalah.
"Pihak penganjur tidak berniat untuk berkonfrontasi dengan sesiapa tetapi untuk mendengar pelbagai pandangan dan berusaha mencari penyelesaian bagi mengelak isu-isu itu berulang," katanya.
'Kecewa dengan polis'
Sambil menggesa kerajaan supaya membenar dan menggalakkan perbincangan seumpama itu, Chew berkata: "Jika kita bercakap mengenai kefahaman dan perpaduan antara satu sama lain, maka kita tidak harus mempolitikkan isu-isu tersebut dan menganggapnya sebagai sensitif.
"Rakyat Malaysia dilihat hidup bersatu padu dan harmoni, tetapi pada hakikatnya, banyak isu-isu yang disorokkan yang akhirnya meletup juga kemudiannya," tambahnya.
Chew mengecam tindakan wakil-wakil dari Umno, PAS dan PKR yang menurutnya membuat tuntutan yang provokatif terhadap pihak penganjur, sehingga forum itu dihentikan dan telah menakutkan para hadirinnya.
Chew yang juga ketua Skuad Tangani Krisis MCA (CRSM) turut menyuara kekecewaan terhadap cara pihak polis menangani keadaan pada hari berkenaan.
Katanya, forum tersebut diadakan di dalam bangunan yang memerlukan pendaftaran.
Sehubungan itu, tambahnya, apa juga yang yang dibincangkan adalah terhad di dalam bangunan itu sahaja.
Oleh itu, katanya, pihak polis tidak sepatutnya membenarkan mereka yang membantah penganjuran forum itu, masuk ke dalam bangunan tersebut.
Sehubungan itu, Chew menggesa pihak polis supaya mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat bantahan dan bukannya terhadap penganjur atau penceramah yang berbincang secara aman.

