Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'tan serah sekolah agama rakyat
Diterbitkan:  Aug 12, 2008 8:53 PM
Dikemaskini: 1:02 PM

Kerajaan negeri Kelantan hari ini secara rasminya menyerahkan 20 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di negeri itu untuk ditadbirkan oleh Kementerian Pelajaran.

Perjanjian Persefahaman (MoU) Pendaftaran Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) antara kerajaan persekutuan dengan Yayasan Islam Kelantan (YIK) berlangsung di Balai Islam di Kota Bharu hari ini - menamat isu pengambilalihan SAR dan SAN yang telah berlanjutan hampir tiga tahun lalu.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang yang mewakili Kerajaan Persekutuan manakala YIK diwakili Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob.

nik aziz Menurut laporan Bernama, majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berucap di majlis tersebut, Nik Aziz pula berkata, beliau gembira kerana kerajaan pusat bersetuju dengan beberapa syarat seperti mengekalkan pengetua dan penolong pengetua serta masa depan guru SAR dan SAN terjamin.

Selain itu, kerajaan pusat juga katanya bersetuju untuk menerima pakai sistem pendidikan Islam yang diterapkan oleh YIK sebelum ini.

'Bukti demokrasi'

"Ini adalah bukti demokrasi sebenar dan saya gembira dengan keikhlasan kerajaan pusat ini dan harap semua sekolah ini akan terus cemerlang," katanya.

hishammuddin hussein 01 Manakala Hishammuddin pula berkata ia membuktikan ketulusan kerajaan negeri Kelantan untuk melihat masa depan pendidikan Berteraskan Islam di negeri itu terus cemerlang.

"Tanggapan mengatakan kerajaan pusat mahu membunuh sistem pendidikan agama dan untuk meminggirkan peluang pendidikan anak-anak tempatan adalah tidak berasas sama sekali dan hari ini adalah buktinya untuk memartabatkan pendidikan Islam di negara ini," katanya.

Menurutnya, kerajaan sebenarnya tidak berhasrat untuk mengambil alih SAR tetapi hanya mengambil alih tanggungjawab mengurus sekolah tersebut dengan baik.

Menurutnya, sehingga kini 154 SAR dan SAN di seluruh negara telah mendaftar dengan kementerian itu dan menurutnya kementerian memperuntukkan RM180 juta bagi sekolah berkenaan tahun ini.

Katanya guru di SABK akan mendapat peluang kenaikan pangkat dan gaji yang sama dengan guru sekolah yang lain dan kerajaan memberi jaminan pelajarnya berpeluang mendapat biasiswa, bantuan makanan, bantuan buku teks dan bantuan lain sepertimana sekolah bantuan kerajaan yang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS