Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Caj PTPTN turun kepada 1%
Diterbitkan:  Aug 13, 2008 8:58 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Caj perkhidmatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diturunkan kepada satu peratus bagi semua pelajar universiti berkuatkuasa Jun tahun ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

khaled nordin Keputusan itu diambil jemaah menteri hari ini membabitkan peminjam sedia ada, peminjam yang telah tamat belajar tetapi masih belum menyelesaikan pinjaman dan semua bakal peminjam, lapor Bernama .

"Pelajar baru yang memohon pinjaman sebelum sistem baru dilaksanakan, permohonan mereka akan diproses dan diluluskan mengikut kaedah sedia ada dan pelarasan akan dibuat kemudian apabila sistem baru siap dibangunkan menjelang Disember tahun ini," beliau dipetik sebagai berkata.

Peminjam yang tidak pernah membayar dikenakan kadar caj lama bersama denda sebanyak satu peratus.

Bagaimanapun baki jumlah pinjaman selepas 1 Jun sahaja layak mendapat kadar caj yang baru, tambah Mohamed Khaled.

PTPTN sebelum ini mengenakan caj tiga peratus bagi penuntut peringkat siswazah, manakala lima peratus kepada pasca siswazah

Menurut agensi berita itu lagi, menteri itu berkata surat perjanjian baru akan diedarkan kepada peminjam sedia ada dan yang telah tamat belajar menjelang tahun depan.

Peminjam diberi tempoh sebulan untuk melengkapkan dokumen baru itu dan mengembalikannya semula kepada PTPTN.

ptptn perbadanan tabung pendidikan tinggi nasional malaysia "Peminjam perlu menjawab surat tawaran itu sama ada setuju atau tidak, ini perlu kerana ia melibatkan perjanjian, mereka (peminjam) tidak boleh anggap bila kita umum ia akan berubah kerana ini ada perjanjian.

"Kalau peminjam tidak memberikan sebarang jawapan, kadar caj yang lama akan tetap dikenakan," katanya.

Mohamed Khaled menambah, caj rendah itu diharapkan dapat memudahkan usaha peminjam membuat bayaran balik.

Kira-kira 1.04 juta pelajar siswazah (diploma dan sarjana muda) dan bagi 2,473 orang pula pasca siswazah (sarjana dan doktor falsafah) bergantung pada PTPTN.

ADS