Teater Ibu Zain ke Permatang Pauh?
Penerbit eksekutif teater Ibu Zain, Noraini Nordin bercadang menemui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung cadangan untuk membawa teater muzikal Ibu Zain ke Permatang Pauh sewaktu pilihanraya kecil di situ.
Teater itu mengisahkan perjuangan allahyarham Ibu Zain atau nama sebenarnya, Tan Sri Zainon Munshi Sulaiman dalam gerakan menentang Malayan Union pada 1946 serta memperjuangkan hak wanita di negara ini melalui peranannya sebagai Ketua Kaum Ibu Umno (Wanita Umno).
Noraini berkata, cadangan membawa teater itu ke Permatang Pauh dilihat sebagai pendekatan terbaru untuk berkempen, demikian menurut laporan Bernama.
Teater muzikal mengenai pejuang kemerdekaan Ibu Zain itu dipentaskan di Istana Budaya mulai dua hari lalu dan berakhir Isnin ini.
"Biasanya, dalam pilihanraya, ada ceramah sahaja. Jadi kita merancang untuk menyampaikan mesej melalui sastera pula," katanya.
Oleh itu, katanya, beliau bercadang menemui Najib yang mengetuai kempen Barisan Nasional di Permatang Pauh untuk memaklumkan idea itu.
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Persatuan Penulis Wanita Malaysia di kediamannya di ibunegara hari ini, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyeru ahli politik, terutamanya wanita, untuk sama-sama menonton teater tersebut.
"Kata-kata rangsangan diberi Ibu Zain kepada wanita suatu ketika dahulu, perlu dihayati oleh ahli politik terutamanya Wanita dan Puteri Umno," kata beliau yang juga penaung teater tersebut.
Rosmah juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kerana sudi untuk hadir teater muzikal mengenai pejuang kemerdekaan Ibu Zain malam ini.
Beliau juga berharap Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah akan kembali semula ke pangkuan Umno.
Katanya, beliau yakin bekas perdana menteri itu dan isterinya masih menyayangi Umno walaupun kedua-duanya telah meninggalkan parti itu pada 19 Mei lepas sebab kecewa kerana menganggap Umno sekarang tidak lagi seperti Umno yang ditubuhkan 62 tahun lalu.

