Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said berkata, beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan berlakunya politik wang di Pengerang.

azalina othman 02 "Saya percaya kepada lembaga disiplin untuk menjalankan siasatan tersebut. Saya tidak tahu mengenai dakwaan itu.

"Bagaimanapun, sehingga ini saya belum disiasat berhubung dakwaan tersebut," katanya dalam satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.

Baru-baru ini Ketua Umno bahagian Pengerang, Datuk Harun Abdullah mendakwa seorang pemimpin bahagian berkenaan telah membahagikan wang kepada ahli Umno untuk mendapatkan pencalonan.

Harun mendakwa, ada yang dapat RM50, RM100 malah RM1,000.

Harun gagal mendapat minima 20 peratus atau tujuh pencalonan untuk membolehkannya mempertahankan jawatan tersebut.

Beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Selat hanya mendapat empat pencalonan, manakala Azalina 27 pencalonan.

Berikutan itu, Azalina yang kini naib ketua bahagian, menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian.

Harun menjadi ketua bahagian Pengerang sejak 2004 selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya Parlimen Kota Tinggi. Sebelum itu beliau merupakan timbalan ketua bahagian Kota Tinggi.

Beliau juga sudah dua penggal menjadi Adun Tanjung Selat. Sebelum ini, Harun merupakan Adun Pengerang pada 1999.