Lonjakan sokongan pengundi kaum India telah membolehkan PAS mengambilalih kerajaan di Kedah dan membantu kemenangan Pakatan Rakyat di Perak, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, katanya lonjakan paling tinggi kepada PAS ialah di kalangan pengundi muda dan orang Cina.

Sokongan di kalangan orang Melayu, kata beliau ialah di Kelantan iaitu peningkatan sebanyak enam peratus.

"Dan yang paling kurang ialah di Perlis iaitu tolak enam peratus," katanya ketika menyampaikan ucapan di muktamar PAS ke 54 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

Sementara itu, Mohamad berkata, pada masa ini hubungan PAS dengan rakan Pakatan adalah baik.

Malangnya, gelombang pilihanraya umum lalu tidak sampai ke Perlis dan Terengganu berbanding negeri-negeri lain.

Sebagai contoh, katanya hanya 20 peratus kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang dilanda gelombang tersebut.

Kenaikan harga bahan

"Kemenangan BN pula kerana pengundi pos, manakala pengundi di kalangan peneroka Felda menyokong parti itu kerana kebetulan harga getah dan kelapa sawit tinggi ketika itu.

"Tambahan pula, timbalan perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) memberi imbuhan kepada peneroka menyebabkan mereka menganggap kenaikan harga bahan tersebut kerana kebijakan Umno," katanya.

Mohamad yang juga pengerusi jawatankuasa mobilasi demokrasi PAS berkata, jawatankuasa itu tidak aktif selepas pilihanraya umum lalu kerana sibuk dengan pembentukan kerajaan Pakatan, selain melakukan bedah siasat parti tehadap keputusan pilihanraya itu.

"Ada ahli jawatankuasanya yang (telah) bergelar YB (Yang Berhormat) termasuk Menteri Besar Perak (Datuk Seri Nizar Jamaluddin)," katanya.

Sementara itu, Ketua Peneragan PAS, Mahfuz Omar berkata, pihaknya akan membawa pemimpin utama parti turun ke negeri-negeri untuk menyebarkan risalah penerangan dan menyampaikan ceramah politik dan berdakwah.

Katanya, para pemimpin parti di peringkat negeri pula turun ke kampung dan cawangan untuk tujuan yang sama.

"Kita harap lajnah penerangan digerakkan untuk memberi penerangan kerana PAS pusat tidak mampu berbuat demikian ke peringkat bawah," katanya.