Azizah: Saiful mahu jatuhkan Anwar
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan semata-mata bertujuan menjatuhkan maruah dan karier politik suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, bekas pembantu peribadi kepada penasihat PKR itu sengaja menimbulkan perkara itu bagi menghalang hasrat suaminya itu daripada memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam pilihanraya kecil 26 Ogos ini.
"Sumpah banyak kali pun, tetapi kalau tiada bukti dan doktor dah sah tiada apa-apa, sumpah dia tak boleh dipakai," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon pilihanraya kecil itu di Dewan Aminuddin Baki di Institut Perguruan Tuanku Bainun hari ini.
Bernama memetik Wan Azizah sebagai berkata, Saiful tidak mengetahui tujuan sebenarnya dia bersumpah
Semalam Saiful mengangkat sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan, mengatakan bahawa beliau bercakap benar mengenai dakwaannya yang beliau diliwat oleh Anwar.
Majlis itu disaksikan beberapa pegawai masjid berkenaan dan ahli keluarga Saiful serta pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), termasuk Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali.
Mengenai peluang Anwar untuk memenangi kerusi Parlimen itu, Dr Wan Azizah berkata beliau yakin dengan sokongan penyokongnya, Anwar akan memenangi kerusi itu.
"Dahulu, saya yang menjaga mereka...sekarang kita tawarkan khidmat itu sekali lagi, insya-Allah akan menang dan akan pertahankan kerusi Permatang Pauh," katanya.
Pilihanraya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Anwar, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar Shah, dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.

