Isu muzakarah dan Pakatan Rakyat telah dibangkitkan oleh beberapa perwakilan PAS ketika membahaskan ucapan dasar presiden di hari kedua muktamar ke 54 PAS di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.

Beberapa perwakilan mendakwa isu muzakarah telah menimbulkan pergolakan di kalangan ahli parti, manakala yang lain mempersoalkan kepentingan Pakatan kepada PAS.

Bagi wakil Kedah, Musodak Ahmad isu muzakarah telah mencemaskan PAS negeri itu kerana menjadikan mereka sukar berdepan dengan penyokong parti sendiri.

"Sukar untuk menerangkan perkara itu kepada ahli dan juga orang Umno yang menyokong PAS," katanya.

Beliau juga menentang sebarang usaha untuk membuka keahlian PAS kepada bukan Islam melainkan PAS bukan lagi sebuah parti Islam.

Musodak juga mempersoalkan mengapa PAS terpinggir dalam kerajaan Pakatan di Pulau Pinang dan Selangor dengan mendakwa tindak tanduk Pakatan telah memberi kesan kepada PAS.

Wakil Pemuda, Nasaruddin Hassan turut mengakui isu muzakarah telah menimbulkan pergolakan di dalam parti dan mahu isu itu diselesaikan segera.

Serah pada pucuk pimpinan

Sebaliknya, beliau menggesa supaya dihidupkan budaya intelektual di kalangan pemimpin dan aktivis parti, dengan menyelesaikan isu tersebut dengan kekuatan hujah.

Dewan Ulama PAS mempersoalkan tindakan ahli parti yang membuat bising apabila pimpinan PAS bertemu dengan pemimpin Umno.

Wakilnya Nik Zawawi Salleh berkata: "Saya hendak tanya PKR jumpa ahli parlimen Sabah dan Sarawak adakah telah dibincangkan dalam Pakatan."

"Adakah kemasukan 30 ahli Parlimen itu akan menguntungkan orang Melayu dan agama Islam?" katanya.

Beliau meminta supaya isu yang membabitkan Pakatan diserahkan kepada pucuk pimpinan PAS dan menjadi kewajiban ahli menerima keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama mengenai perkara tersebut.

Manakala wakil Pahang, Mohamad Jaafar pula meminta parti menggunakan pendekatan dakwah berbanding pendekatan politik dan menghukum.

"Pendekatan menghukum menyebabkan orang menjadi takut, tetapi jika pendekatan dakwah, Insya-Allah orang akan mengikut kita," katanya.

Bantu buka cawangan PKR

Wakil Melaka, Kamaruddin Sidek pula mendedahkan ada ahli PAS yang membantu PKR menubuhkan cawangan parti itu walaupun sudah ada cawangan di tempat tersebut.

Katanya, tindakan ini jika berterusan dan dibiarkan, maka sudah tentu jumlah cawangan PAS akan semakin berkurangan.

Wakil Kelantan, Mohamad Mustaffa pula mengajak ahli parti memperkukuhkan jemaah dengan membuang penyakit dalam parti.

Menjawab kebimbangan ahli PAS mengenai izu muzakarah, presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi jawabannya bahawa PAS tidak akan menyertai Umno.

"Kita memberi jaminan bahawa semua perkara dirujuk kepada parti dan kalau perlu muktamar khas diadakan untuk mendapat kata putus mengenai perkara tersebut.

"Sikap pendakwah mesti terbuka dan Islam mengajar, apabila orang ajak berbincang, kita mesti berbincang," katanya.