Umno: BPR tidak cekup bilis saja
Umno Perak memuji tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan tugas secara profesional dalam kes rasuah, yang dipercayai melibatkan dua ahli exco kerajaan negeri itu.
Setiausahanya, Datuk Ramly Zahari berkata tindakan kerajaan memberikan kebebasan kepada badan itu diterima dengan baik.
"Tindakan BPR itu menyangkal dakwaan bahawa mereka hanya menangkap ikan bilis tetapi melepaskan jerung-jerung," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Semalam BPR menahan enam orang, termasuk dua exco kerajaan negeri - Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang) - kerana disyaki terlibat dalam rasuah berkaitan satu projek perumahan di Seri Iskandar Perak.
Mengulas perkara itu, Ramly turut menyangkal dakwaan Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP Negeri, Ngeh Koo Ham bahawa penangkapan itu adalah sebuah penganiayaan dan konspirasi politik.
"Kalau macam itu, kita pun boleh kata, kes-kes lain yang melibatkan pemimpin Umno dan BN sebagai konspirasi PAS dan PKR. Kenapa kalau mereka yang kena, mereka tuduh kita," katanya.
Saran ganti exco
Semua pihak, tambah Ramly, patut menghormati peranan BPR mencegah rasuah kerana badan itu pasti mempunyai alasan yang kukuh untuk setiap tindakan diambil.
Beliau turut diminta mengulas dakwaan Ngeh bahawa BPR membuat 'tindakan pantas' apabila ia membabitkan pembangkang, sedangkan Pakatan Rakyat juga banyak membuat laporan rasuah melibatkan BN.
Menjawab soalan itu, Ramly berkata: "Boleh jadi lama. Sudah lima bulan mereka (Pakatan) memerintah."
Beliau turut menyarankan kerajaan negeri menggantung tugas kedua-dua exco yang terlibat.
"Digantikan pun tidak mengapa kerana masih ada ramai lagi calon-calon dalam DAP, PAS dan PKR sendiri.
"Lagi pun, nak ganti exco bukan perlu buat pilihanraya," tambah Ramly.
‘Berhutang pada rakyat'
Sementara itu, timbalan pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berkata, kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat bahawa dakwaan kes rasuah melibatkan dua orang exco negeri sebagai 'tindakan politik' merupakan cubaan "menaungi dan menutup kesalahan pihak-pihak tertentu".
"Jika mereka percaya kepada (sistem) kerajaan, mereka mesti juga percaya kepada agensi-agensi kerajaan.
"Tindakan mereka (mempersoalkan tindakan BPR) itu boleh menyebabkan lemahnya semangat anggota BPR yang menajalankan tugas mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Ditanya sama ada wajar atau tidak, cadangan supaya tugas kedua-dua exco terbabit digantung, Abdul Aziz berkata, perkara itu bergantung kepada proses BPR.
Mengulas isu rasuah di kalangan pemimpin politik beliau berkata: "Nafsu jika tidak dikawal akan mendatangkan mudarat. Siapa jadi pemimpin, mereka berhutang kepada rakyat."

