Sekolah di Permatang Pauh cuti Selasa ini
Semua sekolah menengah dan rendah serta sekolah bantuan kerajaan di kawasan Parlimen Permatang Pauh, diberi cuti khas Selasa ini sempena pilihanraya kecil kawasan tersebut.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, cuti khas itu diberikan kerana kebanyakan sekolah di kawasan itu digunakan sebagai pusat mengundi bagi pilihanraya kecil itu.
"Cuti khas itu diberikan bagi membolehkan premis-premis sekolah terbabit digunakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai tempat mengundi selain memastikan proses pilihanraya kecil itu berjalan lancar dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdapat 23 buah sekolah di Permatang Pauh, demikian menurut laporan Bernama.
Alimuddin berkata, keputusan memberi cuti khas itu bertujuan menjamin keselamatan setiap murid dan warga pendidik berikutan pelbagai insiden keganasan yang dilaporkan berlaku semasa proses penamaan calon pilihanraya kecil itu Sabtu lalu.
Beliau berkata, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersetuju bahawa cuti khas itu tidak perlu diganti.

