P'raya kecil: Polis tahan 10 lelaki
Polis menahan 10 lelaki di sekitar kawasan Parlimen Permatang Pauh semalam berhubung pelbagai kes jenayah berkaitan pilihanraya kecil di kawasan itu.
Pegawai Perhubungan Media Polis bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Supt Shaharon Anuar Abdul Latif hari ini berkata tujuh daripada mereka ditahan kira-kira jam 10 malam tadi kerana terlibat dalam pergaduhan semasa berkempen di Hanson Quarry, Jalan Kubang Ulu di Bukit Mertajam.
"Mereka terdiri daripada dua kumpulan berumur antara 20 dan 30 tahun yang berbeza fahaman politik dan polis mendapatkan perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu sidang akhbar di Bukit Mertajam.
Menurut laporan Bernama, Shaharon Anuar berkata, polis turut menahan dua lelaki dipercayai dalang kumpulan tertentu yang dikenalpasti akan melakukan pelbagai cara untuk menakut-nakutkan pengundi Parlimen Permatang Pauh daripada keluar mengundi pada 26 Ogos ini.
"Kedua-dua lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Permatang Pasir kira-kira jam 12.45 tengah hari dan Sungai Semambu pada jam 5.15 petang semalam," katanya.
Beliau berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 iaitu menggunakan pengaruh tidak wajar dengan tujuan menghalang mana-mana pengundi daripada menunaikan hak mereka membuang undi dan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semalam polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes yang sama.
Pelajar dibebaskan
Sementara itu, Shaharon Anuar berkata polis juga telah menahan seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negeri ini semalam bagi membantu siasatan berhubung kes dua jurugambar cedera dipukul sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat semasa proses penamaan calon Sabtu lalu.
"Pelajar lelaki berumur 22 tahun berasal dari Penaga, Kepala Batas itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari. Bagaimanapun dia telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
"Sementara dua lelaki berumur 28 tahun dan 61 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu pada 19 Ogos lalu dan tamat reman semalam, juga telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.
Ditanya sama ada kesemua mereka yang ditahan itu akan didakwa, Shaharon Anuar berkata pegawai penyiasat akan menghantar laporan berhubung kes itu kepada pihak timbalan pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kerana merusuh dengan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam kejadian itu jurugambar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohamed Sairen Mohamed Nafis, 26, dan jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar cedera dipukul sekumpulan penyokong parti politik semasa proses penamaan calon Sabtu lalu.

