Dua daripada sembilan penyokong Pasukan Bertindak Hak-hak Hindu Hindu (Hindraf), yang ditahan polis kerana menimbulkan kekecohan di sebuah kuil di sini semalam, dibebaskan hari ini.

Dua yang dibebaskan dengan jaminan polis itu adalah wanita manakala tujuh lelaki berusia antara 20 dan 40 tahun direman dua hari mulai hari ini.

"Kumpulan itu telah menyebabkan kekecohan dan gangguan lalu lintas sambil menjerit-jerit mengutuk pemimpin tertentu menggunakan pembesar suara," kata pegawai perhubungan media polis di Permatang Pauh, Supt Shaharon Anuar Abdul Latif pada sidang akhbar.

Beliau berkata walaupun sepasukan polis dihantar ke hadapan kuil itu untuk mengawal keadaan, dan mengarahkan mereka untuk bersurai, kumpulan berkenaan enggan patuh sebaliknya meneruskan kekecohan, lapor Bernama .

Ketujuh-tujuh lelaki itu ditahan untuk siasatan bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu berhimpun menyalahi undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Polis juga semalam menerima empat laporan polis berhubung jenayah berkaitan dengan pilihan raya kecil itu termasuk daripada presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) Datuk S Nallakaruppan yang mengadu menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengugut akan mengapa-apakannya jika isu peribadi calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terus beliau canangkan.

Menurut agensi berita itu lagi, pegawai polis itu berkata pihaknya menyiasat kes itu di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

Katanya, kira-kira 6,000 pegawai dan anggota polis mengawal keadaan semasa pilihan raya kecil ini, manakala anggotanya di Perak dan Kedah juga bersiap sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan.

Sementara itu polis turut menasihatkan penyokong-penyokong dari luar supaya tidak datang ke Permatang Pauh kerana kedatangan atau kehadiran orang luar akan lebih memburukkan keadaan.

"Kita nasihatkan mereka agar tidak datang kerana dalam keadaan yang sesak dan sibuk, ia boleh menimbulkan rasa tidak selesa, boleh menyebabkan pelbagai provokasi, perselisihan faham, pergaduhan dan sebagainya," katanya.