‘Mengapa kerajaan sibuk gajikan perunding untuk syarikat swasta?’
PAS hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan yang melantik perunding kewangan luar, Alton Aviation Consultancy, bagi menilai keperluan pembiayaan syarikat penerbangan swasta, AirAsia.
Persoalan itu dibangkitkan oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, susulan laporan Reuters yang menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan bentuk sokongan kewangan kepada syarikat penerbangan terbabit.
“Kenapa kerajaan perlu lantik Alton? AirAsia syarikat swasta. Tentulah mereka ada pengurusan, juruaudit dan penasihat kewangan sendiri.
“Kalau AirAsia perlukan dana, kenapa MOF pula yang perlu lantik perunding untuk mengkajinya? Apa sebenarnya yang Alton diminta kaji? Atau kerajaan memang sedang melihat jalan untuk membantu AirAsia?” soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Isu ini timbul selepas AirAsia mencatatkan kerugian bersih RM831 juta pada suku kedua, dengan liabiliti semasa mencecah RM18.4 bilion berbanding baki tunai dan bank berjumlah RM954 juta.
Syarikat itu kini dilaporkan sedang berusaha mendapatkan dana sehingga AS$1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa dan kemudahan kredit tempatan sebanyak RM700 juta.
Ahmad Fadhli menegaskan bahawa wang pembayar cukai tidak sepatutnya digunakan untuk menanggung risiko kewangan syarikat swasta, terutamanya ketika syarikat mengalami kerugian.
“Adakah ini langkah awal ke arah bailout AirAsia? Reuters melaporkan kerajaan sedang menimbang bentuk sokongan yang boleh diberikan kepada AirAsia, walaupun setakat ini dikatakan belum ada rancangan untuk bailout atau memberi jaminan.
“Kalau memang tak ada, kata sahaja tak ada. Jangan nanti kata bukan bailout, tetapi kerajaan masuk juga dengan duit atau jaminan kerajaan. Tukar nama macam mana sekalipun, kalau wang kerajaan terlibat dan rakyat menanggung risikonya, rakyat berhak tahu,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/03/b52c862dc71e03895e41f079afa7d426.jpg)
Ahmad Fadhli berkata, soalan itu ditimbulkan kerana sebelum ini, isu penglibatan dana kerajaan dibangkitkan menerusi kes Ventris Energy (dahulunya Sapura Energy) yang melibatkan RM1.1 bilion melalui RCLS, serta cadangan pengambilalihan Datasonic bernilai RM7.5 bilion yang akhirnya tidak diteruskan.
“Sekarang AirAsia pula. Ventris RM1.1 bilion. Datasonic RM7.5 bilion. AirAsia berapa pula?
“Jadi MOF jawab sahaja. Berapa bayar Alton? Apa sebenarnya Alton diminta buat?” soalnya sambil menambah bahawa kerajaan juga perlu menjawab jika ia berhasrat menggunakan dana atau jaminan kerajaan bagi membantu syarikat penerbangan berkenaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/6c2e415c35d5cb3616a8d9705abe5cf3.jpg)
