Menanti dan mentafsir isyarat dari Perhimpunan Agung Umno
Hari ini tumpuan peminat politik pastinya terarah kepada Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bagi menyaksikan permulaan perhimpunan parti Melayu terbesar tanah air, Umno.
Perwakilan dan pemerhati parti itu buat kesekian kalinya akan berhimpun sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026.
Perhimpunan kali ini lebih menarik perhatian ramai kerana berlangsung ketika Umno dilihat berada di tengah-tengah persimpangan yang penuh teka-teki, di antara kerjasama peringkat pusat dengan PH, serta isyarat yang semakin akrab dengan PAS-PN.
Mata juga pastinya akan lebih tertumpu pada Jumaat ini apabila PAU 2026 dirasmikan. Kebiasaannya acara meriah itu akan lebih berwarna-warni dengan kehadiran tetamu jemputan.
Umno sudah menyatakan tiada jemputan dipanjangkan kepada PH, namun perkara sebaliknya dibuat kepada PAS - yang kini menguasai serta berpengaruh besar dalam PN.
Ia bukan sesuatu yang asing kerana sebelum ini PAS dan Umno pernah berteduh di bawah payung yang sama. Payung itu dikenali sebagai Muafakat Nasional.
Jumaat ini, isyarat yang lebih besar berpotensi terpancar dari WTC Kuala Lumpur. Ia akan lebih bermakna jika sosok yang hadir meraikan PAU itu ialah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sendiri.
Di sebalik keadaannya yang relatif uzur, keberadaan Abdul Hadi di pentas utama di Dewan Tun Hussein Onn akan memberi kekuatan kepada gagasan Rumah Bangsa diilhamkan Umno.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/02/959a16c620388255f471002c79dc15dc.jpg)
Sebarang wakil selain Abdul Hadi berpotensi menghantar isyarat yang kurang enak kerana idea yang dikongsi bersama oleh kedua-dua parti, perpaduan ummah, kelihatan sedikit pudar.
Pun begitu, perlu juga difahami bahawa semasa PAS bermuktamar di Kota Bharu pada minggu lalu, Umno hanya menghantar setiausaha agung parti itu, Asyraf Wajdi Dusuki.
Umno tidak hadir bersama sosok presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi.
Tetapi sudah tentu PAS bukan Umno. PAS ialah sebuah parti yang setia dan sedia berkorban demi menjayakan matlamat perjuangan mereka.
PAU kali ini juga menjadi titik penting untuk menilai apakah suara nurani akar umbi terhadap keberadaan Umno dalam kerajaan perpaduan. Mereka akan memberikan isyarat sama ada ia perlu diteruskan atau sebaliknya.
Bagi Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Mazlan Ali, perwakilan Umno mungkin akan menyuarakan desakan mereka yang mahukan parti itu bekerjasama dengan PAS.
"Desakan daripada perwakilan adalah kerjasama dengan PAS atas dasar penyatuan ummah kerana ini adalah naratif yang kuat di dalam PRU yang bakal memberi mereka kemenangan sehingga boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
"(Mungkin juga) satu desakan yang bakal kita dengar daripada perwakilan adalah untuk Umno mendesak kerajaan perpaduan supaya membubarkan parlimen sebelum penggal tamat bagi memberi laluan kepada PRU awal," katanya.
Jelas Mazlan, kehadiran Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, ke Muktamar PAS baru-baru ini serta jemputan balas Umno kepada PAS memberi isyarat kesediaan parti itu untuk menjalinkan kerjasama.
Takkan diputuskan semasa PAU
Nada sama juga turut disuarakan Dekan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi, yang menjangkakan akar umbi Umno akan mendesak supaya kerjasama dengan PAS diadakan atas dasar penyatuan ummah.
Namun, apa yang lebih menarik lagi, Awang Azman menjangkakan isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Lembaga Tabung Haji (TH) juga akan turut disentuh perwakilanan Umno kali ini.
"Perwakilan juga bakal bangkitkan isu kenapa RCI Tabung Haji dan pemansuhan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) sekarang diumumkan?
"Sedangkan kedua-dua ini boleh dibuat pada tahun pertama kerajaan Madani. Langkah itu memberi gambaran seolah-olah ada udang di sebalik batu," katanya.
Pun begitu Awang Azman mengambil sikap berhati-hati.
Pada pandangannya, PAU kali ini tidak akan membuat sebarang ketetapan berhubung kerjasama dengan PAS-PN walaupun bakal ada desakan daripada akar umbi.
"Sekiranya ada usul untuk kerjasama, ia akan dibawa ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk diteliti terlebih dahulu," katanya.
Apa pun, boleh disimpulkan bahawa PAU kali ini merupakan titik sangat penting buat Umno. Ia adalah PAU yang akan menentukan hala tuju parti itu bagi menghadapi PRU ke-16.
Lebih daripada itu ia juga menjadi acuan kepada impian Umno untuk kembali signifikan dan dominan selepas mengalami kekalahan sejak 2018.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/089452e067d80e78bddddf2bd4ab6976.jpg)
