PH: Hukuman kes rasuah profil tinggi perlu dijalani sepenuhnya
Pakatan Harapan nampaknya memberi isyarat akan terus membantah pengurangan hukuman penjara bekas perdana menteri Najib Razak, serta sebarang perjanjian berisiko yang menjejaskan mana-mana kes mahkamah.
Tanpa menamakan sesiapa, sekretariat PH berkata ia kekal dengan pendirian bahawa mereka yang disabitkan kesalahan dalam kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berprofil tinggi "perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamahi"
Ia selanjutnya berkata bahawa kedaulatan undang-undang menghendaki sebarang proses mahkamah yang sedang berjalan mesti diberi ruang untuk diselesaikan secara bebas dan teratur "tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain".
Penegasan itu hadir ketika PH kini dilihat berdepan tempoh genting.
Sejak menerajui kerajaan Madani, gabungan itu dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, telah berdepan tuduhan termasuk dari penyokongnya sendiri sebagai lemah dalam menangani rasuah apabila melibatkan sekutu terutamanya dalam BN.
Ini termasuk persepsi bahawa pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, dalam kes Yayasan Akalbudi telah dihentikan kerana pertimbangan politik.
Terdapat juga spekulasi berterusan bahawa Najib mungkin juga mendapat pengampunan penuh di bawah pentadbiran Anwar. Media sebelum ini melaporkan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadualkan bermesyuarat pada 11 September untuk mendengar permohonan pengampunan Najib.
Sin Chew Daily melaporkan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh telah memberi taklimat kepada pemimpin PH tentang pendengaran pengampunan yang akan diadakan itu semasa mesyuarat gabungan di Putrajaya malam tadi.
Najib disabitkan pada Disember tahun lalu dalam kes rasuah bagi kali kedua dan dijatuhkan hukuman 15 tahun di penjara, selain dendan RM11.38 bilion.
Sabitan ini boleh menyebabkan Najib kekal di penjara tana mengambil kira hukuman penjaranya bagi sabitan pertama dalam kes SRC International.
Hukuman penjara yang disemak semula untuk sabitan Najib dalam kes SRC International dijadualkan tamat menjelang Ogos 2028. Walau bagaimanapun, termasuk remisi satu pertiga untuk kelakuan baik, dia mungkin telah dibebaskan seawal bulan lepas.
Walau bagaimanapun, PH dijangka kehilangan BN sebagai sekutu - dengan BN sudah menunjukkan petunjuk jelas bahawa ia berhasrat untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh PAS dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, dan kedua-duanya kini berada di landasan yang boleh menyaksikan mereka memenangi pilihan raya akan datang sambil memberi tamparan hebat kepada PH.
Sejak itu, Anwar dan PH telah mengambil langkah untuk menghidupkan semula pangkalan sokongannya, sementara siasatan rasuah dan pendakwaan terhadap pemimpin Umno berterusan.
Dalam kenyataannya malam tadi, PH mengakui bahawa ia dibina atas sokongan rakyat Malaysia daripada semua kaum dan kepercayaan yang meletakkan harapan tinggi terhadap agenda reformasi untuk membina sebuah negara yang bersih, berintegriti, dan berprinsip walaupun menghadapi situasi sukar dan tekanan daripada pelbagai pihak.
"mengulangi pendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara dan pada masa yang sama kekal teguh mempertahankan prinsip Reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/4db6f3000b2de592888134e1a23d389c.jpg)
