Tentera Amerika Syarikat (AS) memusnahkan lima kapal tangki minyak Iran pada Selasa selepas Tehran melancarkan peluru berpandu balistik ke arah kapal perang AS sebanyak dua kali dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, menurut kenyataan tentera AS.

Laporan AFP itu menyebut serangan itu merupakan kali kedua tentera Washington menyasar kapal tangki Iran dalam tempoh kurang seminggu sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal tentera AS, manakala Tehran berikrar untuk membalas dendam dengan menyasar kapal tangki minyak di kawasan berhampiran negara Teluk yang menjadi sekutu AS.

"Tentera AS mengarahkan anak kapal supaya meninggalkan kapal sebelum kapal-kapal berkenaan diserang dan dimusnahkan hingga tidak dapat beroperasi," kata Markas Pentadbiran Pusat AS (Centcom) dalam satu kenyataan mengenai serangan itu, yang dilancarkan "sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu Iran yang gagal."

Pemusnahan kapal tangki itu berlaku selepas "Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyasar kapal perang Tentera Laut AS dengan peluru berpandu balistik sebanyak dua kali sepanjang dua hari lalu," kata Centcom.

Kapal perang itu "berjaya mengelak cubaan serangan Iran dan meneruskan rondaan di perairan serantau," katanya.

Tentera AS memusnahkan tiga kapal membawa minyak mentah Iran pada Sabtu selepas Iran cuba menyerang kapal pengangkut pesawat dan kapal pemusnah peluru berpandu dipandu AS, menurut Centcom.

"Semua cubaan IRGC terhadap kapal perang Tentera Laut AS gagal," tambahnya.

Awal Selasa, Ketua Staf Angkatan Tentera Iran, Ali Abdollahi, memberi amaran bahawa Tehran akan menyerang pangkalan AS di rantau berkenaan sekiranya kapal tangki minyak Iran diserang.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata Washington akan terus menyerang kapal-kapal berkenaan sebagai maklum balas kepada serangan Iran.

"Iran terus cuba menyerang kapal tentera laut AS, dan setiap kali mereka berbuat demikian atau cuba berbuat demikian, mereka akan kehilangan kapal tangki," kata Rubio kepada pemberita dalam lawatan ke Colombia.

Iran kemudian berkata ia akan menyasar kapal tangki di luar perairan negara sekutu AS iaitu Kuwait dan Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan AS pada Selasa.

"Kami memberi amaran kepada semua kapal tangki minyak di pelabuhan Kuwait dan Bahrain... sama ada yang sedang berlabuh atau bersauh – kami memberi amaran supaya mereka meninggalkan kapal kerana kawasan berkenaan akan disasar," menurut kenyataan IRGC yang disiarkan awal Rabu di agensi berita rasmi IRNA.