Operasi membawa keluar lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan usaha membawa keluar mangsa bermula sejak 7.30 pagi tadi.

Dzulkefly berkata pihak hospital di Miri juga bersedia sepenuhnya di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari lokasi kejadian.

“Setakat laporan pagi ini, operasi membawa keluar mangsa sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat iaitu Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Mahathar Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Ismuni Bohari.

Dia berkata KKM akan terus mendapatkan perkembangan mengenai operasi itu daripada pihak berkuasa dari semasa ke semasa, memandangkan lokasi kejadian berada di kawasan pedalaman dan mempunyai cabaran dari segi akses.

Katanya tiga keutamaan KKM ketika ini ialah keselamatan petugas kesihatan yang menjalankan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), memastikan kebajikan keluarga dan waris mangsa terjaga serta menjamin kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti khususnya di kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) KKM telah digerakkan dan kini mendampingi ahli keluarga mangsa bagi memberikan Bantuan Awal Psikologi (PFA) serta sokongan emosi berterusan.

Selain itu, dia berkata bantuan lain termasuk sumbangan kewangan atau ex gratia kepada keluarga mangsa akan diuruskan KKM.

Sokongan itu turut diberikan kepada pasukan FDS yang terkesan susulan insiden berkenaan, katanya.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.

KKM dalam kenyataan memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Bernama sebelum ini melaporkan sebanyak 21 petugas daripada pelbagai agensi digerakkan ke Long Lellang pagi ini untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan nahas helikopter di kawasan itu semalam.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) memaklumkan pasukan itu antaranya terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak polis.

“Pergerakan ke Long Lellang menggunakan helikopter JBPM dirancang secara berperingkat, dengan penerbangan pertama membawa pasukan operasi sebelum penerbangan membawa pasukan forensik polis.

“Sebelum pergerakan dilaksanakan, taklimat operasi diadakan di Pangkalan Udara Wilayah Sarawak JBPM di Miri,” menurut Ukas menerusi hantaran di media sosial milik unit itu hari ini.

Difahamkan pasukan SAR bergerak ke lokasi kejadian pada 11 pagi tadi.