Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Rabu berkata pasukan lautnya menyasarkan dua kapal Amerika Syarikat (AS) dan lapan kapal tangki minyak di Teluk Parsi, sambil mendakwa serangan itu menyebabkan kerosakan pada kapal berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, IRGC berkata serangan itu “dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan AS, termasuk serangan ke atas lima kapal tangki minyak Iran di Teluk Parsi.”

Bagaimanapun, IRGC tidak mendedahkan identiti kapal AS atau kapal tangki minyak yang menjadi sasaran, selain tidak menyatakan bila serangan itu berlaku.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa pasukan laut Iran menyasarkan 10 kapal lain yang “cuba memasuki kawasan larangan dan tidak selamat di Selat Hormuz.”

IRGC berkata pihaknya terus mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz, laluan air strategik yang menjadi antara laluan utama penghantaran minyak dunia melalui laut.

Menurut IRGC, selat itu kekal berada di bawah pengawasan dan pengurusan pasukan laut Iran.

Secara berasingan, Pemerintah Pusat AS (Centcom) berkata tentera AS memusnahkan lima kapal pengangkut minyak mentah Iran selepas IRGC menyasarkan sebuah kapal perang Tentera Laut AS dengan peluru berpandu balistik sebanyak dua kali dalam tempoh dua hari lalu.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara Iran dan AS berhubung Selat Hormuz semakin memuncak, meskipun satu memorandum ditandatangani bagi membuka semula laluan air strategik itu sebagai langkah awal ke arah perjanjian damai yang lebih luas.