Fadhlina: Markah Pisa bukan sekadar nombor dan kedudukan
Di sebalik kritikan berhubung penurunan prestasi pelajar negara ini dalam Program Penilaian Murid Antarabangsa (Pisa) 2025, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menggesa orang ramai agar melihat isu berkenaan dari perspektif yang lebih luas.
Menerusi satu hantaran di Threads, dia memberi peringatan supaya tidak hanya berfokus kepada skor dan kedudukan carta, sambil menegaskan bahawa pendidikan merangkumi perkara yang lebih daripada sekadar angka.
"Jika kita melihat Pisa hanya melalui kanta nombor dan kedudukan, kita berisiko terlepas banyak perkara penting mengenai anak-anak kita," katanya.
Fadhlina turut berkongsi dapatan daripada Pengarah Pendidikan dan Kemahiran Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Andreas Schleicher, dengan harapan ia dapat membantu masyarakat melihat penilaian Pisa "dari sudut yang sedikit berbeza".
"Schleicher dari OECD melihat keputusan Pisa 2025 Malaysia dari perspektif yang lebih luas termasuk keupayaan anak-anak, guru-guru, dan sekolah-sekolah kita, serta ruang yang masih perlu diperbaiki," katanya.
Antara dapatan tersebut, 79 peratus murid di Malaysia menunjukkan ketabahan dalam pembelajaran, jauh melampaui purata 60 peratus dalam kalangan negara peserta OECD.
Penilaian itu turut mendapati peratusan yang tinggi bagi guru di Malaysia akan terus gigih mengajar sehingga murid mereka memahami mata pelajaran yang diajar.
Pelajar Malaysia juga mengatasi kebanyakan negara peserta lain dari segi sifat ingin tahu, daya ketahanan, dan keupayaan untuk mengurus pembelajaran mereka sendiri.
Schleicher memberi maklum balas bahawa pelajar Malaysia juga mampu menyelesaikan masalah yang kompleks, walaupun skor 484 mata yang dicapai Malaysia untuk penyelesaian masalah pengiraan adalah 16 mata di bawah purata OECD.
Walau bagaimanapun, dia turut menyerlahkan beberapa bidang yang memerlukan penambahbaikan.
Ibu bapa, sebagai contoh, perlu berperanan yang lebih besar dalam pendidikan anak-anak mereka.
Hanya 34 peratus murid Malaysia melaporkan sekurang-kurangnya mengadakan perbincangan mingguan dengan ibu bapa mengenai masalah yang mungkin dihadapi di sekolah.
Murid-murid juga perlu beranjak daripada sekadar menghafal formula matematik dan membina kemahiran pemikiran kritis yang lebih kukuh. Skor Matematik Malaysia merosot daripada 409 mata pada tahun 2022 kepada 397 mata pada tahun 2025.
Malaysia juga mencatatkan kadar murid yang mengalami pembulian siber yang lebih tinggi berbanding purata OECD sebanyak tiga peratus.
Pisa merupakan program anjuran OECD yang berpusat di Perancis, yang menilai pengetahuan serta kemahiran murid berusia 15 tahun di negara-negara yang mengambil bahagian.
Penilaian 2025 tersebut merupakan yang terbesar setakat ini, melibatkan 760,000 murid di 91 negara, menurut laman web OECD.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/911dbbceb6e35cee8f5a4b6235aa62ad.jpg)
