Azeez sendiri mahu digari, pakai baju lokap, dakwa SPRM
Kehadiran bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Abdul Azeez Abdul Rahim dalam keadaan bergari dan berbaju lokap bukan atas arahan mana-mana pihak, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebaliknya, dakwa suruhanjaya itu, ia adalah kehendaknya sendiri.
"Sebelum dibawa ke mahkamah, telah dinasihati pegawai SPRM serta pegawai polis yang mengiringi dia dan juga peguamnya untuk menukar kepada pakaian biasa selain menyatakan tidak perlu memakai gari.
"Bagaimanapun, dia berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan.
"Justeru, SPRM ingin menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap dia bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM," kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
Azeez pagi tadi dibawa ke mahkamah dalam pakaian baju lokap polis berwarna ungu dan dalam keadaan tangan bergari bagi permohonan perintah reman kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH.
Selepas prosiding reman, Azeez didakwa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan jawatan pengerusi di sebuah syarikat dan meyakinkan anggota Lembaga TH untuk bersetuju meluluskan cadangan pelaburan RM193.5 juta, 12 tahun lepas.
Azeez, 59, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dia didakwa menyalahguna jawatan sebagai pengerusi Tabung Haji pada 2014 untuk menerima suapan berupa jawatan pengerusi Putrajaya Perdana.
Jawatan itu menawarkan ganjaran RM690,000 setahun, sebuah kereta BMW Siri 7 serta pemandu peribadi.
Malaysiakini sedang cuba penjelasan penjelasan peguam Azeez kenapa anak guamnya tidak mahu menukar pakaian biasa, selain kekal bergari.
Penggunaan baju lokap, khususnya oren (SPRM), sejak sekian lama dikritik oleh aktivis kerana
mewujudkan tanggapan negatif seolah-olah mereka sudah bersalah sebelum mahkamah membuat keputusan.
Ia dianggap mencabuli prinsip asas undang-undang bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah selagi belum disabitkan bersalah oleh mahkamah.
/file/attachments/orphans/azeez3123_784659.jpg)
