Hadi gesa hapuskan undang-undang penjajah yang 'sekat Islam'
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mahu semua undang-undang penjajah yang diwarisi negara ini dimansuhkan, terutamanya yang menyekat pelaksanaan Islam.
Dalam Minda Presiden terbaharunya, Hadi membayangkan ini termasuk Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), atau lebih dikenali sebagai Akta 355, yang menetapkan had kepada jenis hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan syariah.
Gesaan itu seolah-olah menandakan pergeseran dasar bagi Hadi, daripada percubaan terakhirnya untuk meminda Akta 355 bagi meningkatkan had hukuman, kembali kepada matlamat asalnya iaitu menghapuskan terus had tersebut.
Usaha Hadi untuk meminda Akta 355, yang berkait rapat dengan percubaan PAS sebelum ini untuk menguatkuasakan undang-undang hudud, menjadi titik pertikaian utama dengan bukan Islam yang mahu didampingi PAS.
Walaupun tiada percubaan serius dibuat untuk meneruskan visi ini semasa PAS berada dalam kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022, trajektori berterusan PAS dan Umno untuk membentuk kerajaan persekutuan seterusnya boleh menjadi satu lagi peluang untuk Hadi merealisasikan visinya.
Dalam tulisan yang dimuat naik hari ini, Hadi berkata undang-undang penjajah mesti dimansuhkan supaya negara benar-benar merdeka.
“Khususnya, undang-undang yang menghalang kedudukan Islam di tempatnya yang mulia mengatasi undang-undang ciptaan manusia yang tidak diizinkan oleh Allah SWT kerana banyak kelemahannya yang merebakkan kemungkaran,” katanya.
Hadi kemudian menyenaraikan dua undang-undang yang dipertikaikan.
Yang pertama ialah Akta 355. Walaupun dia tidak menyatakan secara jelas bahawa undang-undang itu perlu dimansuhkan, dia kesal kerana had yang ditetapkan menghalang hukuman jenayah syariah yang lebih berat daripada dikenakan.
Pada masa ini, undang-undang yang digubal pada tahun 1965 – lapan tahun selepas Merdeka dan dua tahun selepas pembentukan Persektuan Malaysia – serta dipinda pada tahun 1984, menetapkan had maksimum bagi kesalahan syariah: penjara tiga tahun, denda RM5,000, dan enam sebatan.
Hadi menerusi RUU persendirian pada tahun 2015 pernah berusaha untuk menghapuskan had tersebut sepenuhnya, serta membenarkan Mahkamah Syariah – yang berada di bawah bidang kuasa negeri – mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri berkenaan, kecuali hukuman mati.
Matlamatnya adalah untuk membolehkan PAS melaksanakan hukuman hudud yang digubal di Kelantan dan Terengganu, yang membenarkan pemotongan tangan bagi kesalahan mencuri.
Bagaimanapun, menjelang tahun 2016, RUU persendirian Hadi dilonggarkan, dan sebaliknya dia berusaha untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.
Pada tahun tersebut, PAS juga cuba menjarakkan RUU itu daripada kaitan hudud sebelum ini.
Tiada sebarang percubaan untuk meminda Akta 355 dibentangkan sejak itu, termasuk semasa PAS berada dalam kerajaan.
Pentadbiran Madani ketika ini menyemak kemungkinan pindaan terhadap undang-undang tersebut dan telah berunding dengan kumpulan bukan Islam, namun perkembangan lanjut mengenai perkara itu masih belum banyak dimaklumkan.
Sementara itu, dalam tulisan Hadi hari ini, undang-undang kedua yang dinamakan ialah Akta Undang-Undang Sivil, yang membenarkan mahkamah di Malaysia menggunakan undang-undang am (common law) Inggeris sekiranya tiada undang-undang tempatan yang berkaitan.
Dia seterusnya memetik pandangan pakar untuk menyatakan bahawa mana-mana klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang bercanggah dengan ajaran Islam juga perlu dimansuhkan.
Selain itu, dia berkata undang-undang sivil patut merujuk kepada undang-undang Islam bagi memastikan keharmonian antara kedua-duanya.
Buat masa ini, undang-undang syariah tertakluk kepada had undang-undang sivil. Prinsip ini sebelum ini menyebabkan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan kerana menceroboh bidang kuasa persekutuan dalam menggubal kesalahan yang sudah diliputi oleh undang-undang jenayah persekutuan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/09/030df3eb65ef6b1b01ca4113627baac7.jpg)
