Doakan yang terbaik, kata anak Najib
Tidak banyak yang diperkatakan Nazif Najib ketika ditanya mengenai masa depan bapanya yang kini menjalani hukuman penjara di Kajang.
Ketika Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dikhabarkan bakal bermesyuarat lusa, anak sulung Najib Razak itu sekadar berkata, dia mengharapkan "yang terbaik" buat bekas perdana menteri berkenaan.
Dia ditemui Malaysiakini ketika hadir pada sesi taklimat presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2026 di Kuala Lumpur petang ini, dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Doakan yang terbaik,” katanya ringkas.
Terdahulu Majlis Setiausaha PH mengeluarkan kenyataan - tanpa memetik nama sesiapa - terkait tempoh hukuman seseorang yang disabitkan bersalah oleh mahkamah.
Dalam kenyataan itu, PH berpendapat kelonggaran hukuman penjara serta sebarang perjanjian yang dibuat terhadap hukuman seseorang banduan berisiko yang menjejaskan kes mahkamah yang lain.
Sekretariat PH itu juga berkata, mereka kekal dengan pendirian bahawa seseorang yang disabitkan bersalah dalam kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berprofil tinggi "perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah."
Mereka selanjutnya menyatakan, kedaulatan undang-undang menghendaki sebarang proses mahkamah yang sedang berjalan mesti diberi ruang untuk diselesaikan secara bebas dan teratur "tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain".
Media sebelum ini melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadualkan bermesyuarat pada 11 Sept untuk mendengar permohonan pengampunan Najib.
Menurut Sin Chew Daily Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh memberi taklimat kepada pemimpin PH tentang pendengaran pengampunan yang akan diadakan itu semasa mesyuarat di Putrajaya, malam tadi.
/file/attachments/orphans/nazirnajib1_434501.jpg)
Untuk rekod, Najib yang juga bekas perdana menteru pada Dis tahun lalu disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah untuk kali kedua dan diarah menjalani hukuman penjara selama 15 tahun selain denda RM11.38 bilion.
Sabitan itu boleh menyebabkan Najib kekal di penjara tanpa mengambil kira hukuman penjaranya bagi sabitan pertamanya - melibatkan kes SRC International Sdn Bhd - yang sebelum ini sudah mendapat keringanan.
Hukuman penjara yang disemak semula untuk sabitan Najib dalam kes SRC International dijadualkan tamat menjelang Ogos 2028. Bagaimanapun, termasuk remisi satu pertiga untuk kelakuan baik, dia mungkin dibebaskan sebulan lebih awal.
Sementara itu Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan parti itu berasa kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan Majlis Setiausaha PH yang seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya kuasa pengampunan Agong adalah hak prerogatif baginda yang termaktub jelas di dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, katanya, Umno berpendapat kuasa itu tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
/file/attachments/orphans/nazirnajib12_297408.jpg)
