ULASAN | Dalam politik Malaysia yang semakin sarat dengan retorik berlebihan, pertentangan yang sengaja diperuncing dan kecenderungan menilai keberanian seseorang pemimpin melalui seberapa nyaring suaranya atau seberapa keras serangannya terhadap lawan, ucapan-ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengingatkan kita tentang satu hakikat yang semakin jarang dihargai.

Hakikat itu ialah bahawa seseorang pemimpin tidak perlu menjerit untuk kelihatan kuat, tidak perlu menjadi demagog untuk mencipta kesetiaan dan tidak perlu membakar emosi khalayak untuk membuktikan keberanian kerana dalam banyak hal pemimpin yang paling meyakinkan ialah mereka yang mampu berbicara dengan tenang sambil menyampaikan hakikat yang tidak menyenangkan tetapi perlu didengar.

Lebih satu abad yang lalu, ahli sosiologi Jerman Max Weber dalam karya terkenalnya ’Politics as a Vocation’ telah menggariskan tiga sifat utama yang harus dimiliki oleh seorang ahli politik, iaitu “passion, a feeling of responsibility, and a sense of proportion”, suatu rumusan yang cukup penting kerana ia menegaskan bahawa semangat semata-mata tidak mencukupi tanpa rasa tanggungjawab dan kebolehan untuk menilai realiti dengan pertimbangan yang seimbang.

Jika kerangka Weber digunakan untuk menilai ucapan Mohamad ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Dewan Merdeka, WTCKL pada 9 September lalu, amat jelas sekali bahawa kekuatan ucapan itu bukan terletak pada bahasa bombastik atau seruan emosional, tetapi pada kesediaannya menilai keadaan Umno secara rasional, menerima realiti yang tidak menyenangkan dan menawarkan satu cara berfikir yang lebih strategik tentang masa depan parti.

Pada hemat penulis, ucapan tersebut merupakan antara ucapan politik paling matang yang pernah disampaikan oleh seorang pemimpin Malaysia mutakhir ini, malah dari segi keluasan diagnosis politiknya, ia boleh dianggap antara yang terbaik, bukan kerana ia sarat dengan slogan yang sedap didengar, tetapi kerana ia sarat dengan pemikiran tentang kelemahan, risiko dan perubahan yang sedang membentuk landskap politik negara.

Mohamad tidak hadir untuk mengatakan bahawa UMNO sudah kembali hebat, sebaliknya beliau memberitahu ahli parti bahawa UMNO masih belum pulih sepenuhnya, bahawa sejak kekalahan bersejarah pada 9 Mei 2018 parti itu berada dalam survival mode dan bahawa masa depan UMNO tidak boleh disandarkan kepada PH, PN, PAS atau DAP, tetapi mesti dibina atas kekuatan organisasi, identiti, disiplin dan kebingkasan sendiri.

Inilah perbezaan yang nyata antara pidato yang sekadar mahu mendapatkan tepukan dengan pidato yang benar-benar mahu memimpin. Dalam konteks ini, pemikiran Ronald Heifetz tentang adaptive leadership menjadi sangat relevan, khususnya apabila beliau menyifatkan kepimpinan sebagai proses “mobilizing people to learn in new ways”, kerana seorang pemimpin yang sebenar bukan sekadar mengukuhkan andaian lama pengikutnya tetapi kadang-kadang memaksa mereka keluar daripada zon selesa, menilai semula kepercayaan terdahulu dan menerima realiti yang mungkin tidak popular.

Itulah yang dilakukan oleh Mohamad terhadap Umno di mana beliau tidak menjual nostalgia, sebaliknya mencabar nostalgia dan pendekatan ini sebenarnya telah kelihatan sejak 2 Mei sebelum ini apabila beliau membuka Konvensyen 80 Tahun Umno di WTCKL pada hari beliau genap berusia 70 tahun dan mengingatkan bahawa pengundi, isu dan strategi politik tidak pernah statik, maka sesebuah parti yang mahu kekal relevan mesti memahami perubahan itu dengan jujur.

Pendekatan tenang

Empat bulan kemudian, malam semalam, pemikiran itu muncul dalam bentuk yang lebih lengkap apabila beliau membincangkan mengenai wild card electorate, generasi asli digital, kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, perumahan, media sosial dan perubahan psikologi pengundi.

Menariknya, pada usia 70 tahun, pandangan beliau sama sekali tidak kedengaran seperti seorang ahli politik yang masih terperangkap dalam kerangka politik tahun 1980-an, sebaliknya beliau berusaha memahami generasi yang memperoleh maklumat daripada media sosial, menilai calon melalui prestasi semasa dan tidak lagi mempunyai kesetiaan politik yang bersifat automatik.

Dalam hal tertentu, sifat ini mengingatkan kita kepada Angela Merkel, bukan kerana pencapaian Mohamad harus disamakan dengan seorang Canselor Jerman yang memimpin selama 16 tahun, tetapi kerana terdapat persamaan dari sudut kepimpinan. Merkel, yang mengangkat sumpah sebagai Canselor pada 22 November 2005 dan kekal sehingga 8 Disember 2021, tidak terkenal dengan gaya retorik yang berapi-api, sebaliknya autoritinya banyak dibina melalui pendekatan yang tenang, pragmatik dan berasaskan pertimbangan analitikal.

Joyce Marie Mushaben dalam Becoming Madam Chancellor menggambarkan pendekatan Merkel sebagai pragmatik, berasaskan data dan berorientasikan masa hadapan manakala Peter Kesting dan Remigiusz Smolinski dalam tulisannya pada 2025 menyifatkan beliau sebagai sebuah “quiet powerhouse”, iaitu seorang pemimpin yang tidak perlu membina kewibawaan melalui drama tetapi melalui ketelitian dan kemampuan menyesuaikan diri.

Di sinilah terdapat satu pelajaran penting yang juga sesuai untuk membaca persona Mohamad Hasan, iaitu ketenangan bukan kelemahan, malah dalam sesetengah keadaan ia merupakan petunjuk bahawa seseorang pemimpin tidak perlu menggunakan nada suara untuk menggantikan kekurangan hujah.

Pengalaman luas Mohamad mungkin menjelaskan kematangan ini, kerana sebelum memasuki politik pemerintahan negeri beliau mempunyai kerjaya korporat yang kukuh, termasuk pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Cold Storage (Malaysia) Berhad, Pengarah Urusan Cycle & Carriage Bintang Berhad dan Pengerusi Kumpulan FIMA Berhad selain pernah berkhidmat sebagai penasihat Mercedes-Benz Asia bagi rantau Asia Tenggara.

Pada 25 Mac 2004, beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan memimpin negeri tersebut sehingga BN kehilangan kerajaan pada 9 Mei 2018, satu pengalaman yang barangkali lebih penting dalam pembentukan kepimpinannya daripada kemenangan-kemenangan yang pernah dinikmati sebelumnya kerana kekalahan sering memberikan pelajaran yang lebih keras daripada kemenangan.

Pada malam 9 Mei 2018, ketika keputusan pilihan raya menunjukkan BN kehilangan Negeri Sembilan, Mohamad meminta penyokong menerima keputusan tersebut secara rasional dan tidak membalas provokasi, di mana ini merupakan satu tindak balas yang memberikan gambaran jelas tentang temperamen dan disiplin politiknya.

Tidak sampai dua bulan kemudian, iaitu pada 30 Jun 2018, beliau dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno dan apabila Umno memasuki salah satu tempoh paling getir dalam sejarahnya, Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas-tugas Presiden Umno kepada Mohamad pada 18 Disember 2018. Ini merupakan fakta yang penting kerana Mohamad bukan sekadar bercakap mengenai bagaimana sesebuah organisasi harus diurus ketika krisis, tetapi beliau sendiri pernah dipertanggungjawabkan mengurus Umno ketika parti itu benar-benar kehilangan kerajaan, keyakinan dan arah.

rantau by election polling day 130419 mohamad hasan cat his vote 3

Kemenangan beliau dalam PRK Rantau pada 13 April 2019 dengan majoriti 4,510 undi kemudiannya mempunyai nilai psikologi yang cukup besar kepada Umno yang masih berusaha bangkit daripada trauma PRU14, sebelum pengalaman politiknya berkembang ke peringkat Persekutuan apabila beliau memenangi Parlimen Rembau pada 19 November 2022 dengan majoriti 19,897 undi dan dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 3 Disember 2022. Pada 12 Disember 2023, beliau dipindahkan ke Kementerian Luar sebagai Menteri Luar, sekali gus memperluaskan pengalaman beliau daripada pentadbiran negeri kepada keselamatan negara dan seterusnya diplomasi antarabangsa.

Justeru apabila Mohamad bercakap tentang geopolitik, ekonomi, perubahan pengundi, keselamatan, kestabilan kerajaan dan kepentingan sebuah Malaysia yang majmuk, beliau tidak bercakap daripada satu pengalaman yang sempit kerana beliau pernah menjadi eksekutif korporat, Menteri Besar, pemimpin pembangkang, Timbalan Presiden parti, pemangku tugas Presiden Umno, Menteri Pertahanan dan kini Menteri Luar.

Di sinilah konsep “contextual intelligence” yang dikemukakan oleh Joseph S. Nye Jr. menjadi sangat relevan kerana Nye menegaskan bahawa pemimpin yang berkesan bukanlah mereka yang mempunyai satu gaya yang kaku, tetapi mereka yang mampu membaca perubahan persekitaran, memahami trend dan menyesuaikan strategi dengan keadaan yang berbeza.

Watak sederhana

Dalam ucapan Mohamad, pemikiran seperti ini muncul dengan jelas apabila beliau menolak idea bahawa satu formula politik boleh digunakan di semua negeri atau semua pilihan raya kerana Johor tidak sama dengan Sabah, pengundi muda tidak sama dengan pengundi lama dan kemenangan pada satu pilihan raya tidak secara automatik menjamin kemenangan pada pilihan raya berikutnya.

Pendekatan seperti ini mempunyai persamaan tertentu dengan Lee Kuan Yew, bukan dari segi gaya atau skala pencapaian, tetapi pada kesedaran bahawa politik akhirnya mesti berhadapan dengan realiti dan hasil, bukan sekadar retorik. Lee, yang menjadi Perdana Menteri Singapura pada 5 Jun 1959 dan kekal sehingga 27 November 1990, dikenali dalam banyak kajian sebagai seorang pemimpin yang sangat pragmatik dan berorientasikan pelaksanaan, dengan kesedaran bahawa janji politik akhirnya harus boleh diterjemahkan kepada keputusan pentadbiran.

Namun sisi paling menarik pada persona Mohamad mungkin terletak pada kesederhanaannya kerana, selepas panjang membicarakan kepentingan Melayu dan Islam, beliau segera mengingatkan ahli UMNO supaya tidak menakutkan bukan Melayu, Sabah dan Sarawak, selain menegaskan bahawa UMNO mesti kekal sebagai sebuah parti centrist yang tidak menjadikan politik Melayu sebagai ancaman kepada hak komuniti lain.

Pendekatan ini mengingatkan kita, sekali lagi dari segi prinsip dan bukannya skala sejarah, kepada salah satu pelajaran paling penting daripada Nelson Mandela, yang selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Afrika Selatan pada 10 Mei 1994 memilih rekonsiliasi dan pembinaan negara berbanding politik pembalasan walaupun beliau mempunyai alasan moral dan sejarah yang sangat kuat untuk memilih jalan sebaliknya. Rekod Nelson Mandela Foundation menunjukkan bagaimana Mandela melihat rekonsiliasi sebagai syarat kepada demokrasi yang stabil, bukan sebagai kelembutan sentimental.

Tentulah Malaysia pada 2026 bukan Afrika Selatan pada 1994, dan Mohamad bukan Mandela, namun prinsipnya tetap relevan, di mana seseorang pemimpin yang benar-benar yakin terhadap identiti sendiri tidak perlu menjadikan identiti orang lain sebagai ancaman dan dalam hal ini seruan Mohamad kepada “politik budiman” — iaitu politik yang menegur tanpa memaki, berbeza tanpa mencerca dan menentang fitnah tanpa membalasnya dengan fitnah — memperlihatkan satu usaha untuk mengangkat mutu budaya politik itu sendiri.

Di sinilah teori James MacGregor Burns, salah seorang tokoh terpenting dalam kajian kepimpinan moden, memberikan satu lagi kerangka yang berguna. Burns membezakan kepimpinan transaksional yang sekadar berasaskan pertukaran kepentingan dengan kepimpinan transformasional yang berlaku apabila “leaders and followers raise one another to higher levels of motivation and morality.”

Jika politik hanya berkisar tentang siapa mendapat kerusi, jawatan atau kelebihan elektoral, ia kekal pada tahap transaksional, tetapi apabila seseorang pemimpin mula berbicara tentang etika, kesederhanaan, kebenaran dan keperluan memperbaiki budaya politik, beliau sekurang-kurangnya sedang bergerak ke arah cita-cita yang lebih transformasional.

Usia 70 tahun pula tidak dengan sendirinya menjadikan seseorang itu bijaksana, kerana usia hanya menjadi aset apabila pengalaman sentiasa diproses melalui pembelajaran, refleksi dan kesediaan menyesuaikan diri. Dalam kes Mohamad, perjalanan panjang daripada dunia korporat sejak 1990-an ke Wisma Negeri pada 25 Mac 2004, kekalahan pada 9 Mei 2018, jawatan Timbalan Presiden pada 30 Jun 2018, amanah menjalankan tugas Presiden pada 18 Disember 2018, kemenangan Parlimen pada 19 November 2022, Kementerian Pertahanan pada 3 Disember 2022 dan Kementerian Luar pada 12 Disember 2023 telah memberikan beliau satu bentuk pengalaman yang tidak boleh diperoleh daripada teori sahaja kerana ia merangkumi pengalaman menang, kalah, memerintah, menjadi pembangkang, mengurus krisis dan melihat dunia daripada perspektif diplomasi.

Sekiranya suatu hari nanti tiba waktunya Mohamad memikul amanah Presiden UMNO, persoalan yang paling penting bukan lagi sama ada beliau mempunyai pengalaman kerana pengalaman itu sudah ada, tetapi sama ada pengalaman tersebut telah bertukar menjadi kebijaksanaan dan ucapan mutakhir beliau ini memberikan alasan yang kukuh kepada penulis untuk mengatakan bahawa tanda-tanda itu memang wujud.

Max Weber menekankan semangat, tanggungjawab dan sense of proportion; Ronald Heifetz menegaskan keberanian membawa pengikut berdepan realiti sukar; James MacGregor Burns mengangkat kepimpinan yang meningkatkan mutu moral pengikut; Joseph Nye pula menekankan kecerdasan membaca konteks yang berubah dan, menariknya, keempat-empat unsur itu dapat ditemukan dalam pelbagai bahagian ucapan Mohamad Hasan.

Sejarah kepimpinan antarabangsa juga mengajar pelajaran yang hampir sama. Angela Merkel menunjukkan bahawa ketenangan boleh mengatasi teater, Lee Kuan Yew menunjukkan bahawa pragmatisme harus diterjemahkan kepada hasil manakala Nelson Mandela membuktikan bahawa kekuatan seorang pemimpin terletak pada keengganannya menggunakan perpecahan sebagai senjata.

Kesemua contoh ini tidak menjadikan Mohamad sama dengan mereka, tetapi ia membantu kita memahami standard kepimpinan yang diperlukan oleh negara ketika ini, iaitu bahawa kebesaran seseorang pemimpin tidak seharusnya diukur melalui seberapa kuat dia menumbuk meja, tetapi melalui seberapa jauh dia mampu melihat, seberapa rasional dia menilai risiko dan seberapa tenang dia membawa orang lain memahami realiti.

Pada akhirnya, pemimpin besar tidak semestinya orang yang bersuara dengan paling lantang di dalam bilik kerana orang yang paling bernilai ialah mereka yang apabila bercakap dengan nada yang tenang seluruh dewan tetap mahu mendengar, bukan kerana mereka takut kepadanya, tetapi kerana apa yang keluar daripada mulutnya mempunyai visi, fakta, pengalaman, kesederhanaan dan akal.


WAN HASHIM WAN TEH ialah mantan Timbalan Naib Canselor (TNC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan dan mantan Ahli Parlimen Grik dan kini berkhidmat sebagai Felo Kehormat Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Presiden, World Malay Polynesian Organisation (WMPO)