Undi Trump dapat AS$5,000 jika Republikan menang
Presiden Donald Trump menyatakan pada Rabu bahawa dia akan membayar setiap orang dewasa Amerika Syarikat (AS) sebanyak AS$5,000 sebagai "dividen Trump" sekiranya Parti Republikan mengekalkan penguasaan Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal November ini, satu cubaan ketara untuk memujuk pengundi supaya menyokong partinya,
Laporan Reuters menyebut Trump mengemukakan cadangan itu pada konvensyen pertengahan penggal pertama Parti Republikan, namun tidak jelas bagaimana pembayaran itu akan dilaksanakan atau sama ada tindakan tersebut sah dari segi undang-undang.
Dengan anggaran 270 juta orang dewasa di Amerika Syarikat, gagasan itu akan menelan kos sekitar AS$1.35 trilion.
Semasa ucapan waktu kemuncak itu, Trump mendabik dada kononnya berjaya menyelesaikan "dua tahun terbaik dalam sejarah jawatan presiden," sekali gus meletakkan dirinya betul-betul di pusat pilihan raya tersebut walaupun popularitinya semakin merosot.
Namun tidak jelas sama ada ucapannya yang berunsur kempen itu mampu menarik pengundi atas pagar yang kritikal, yang menurut tinjauan pendapat telah menjauhi parti Trump berikutan rasa tidak puas hati terhadap kos sara hidup dan perang di Iran.
"Jika kita menyerahkan masa depan AS kepada Demokrat haluan kiri radikal, negara kita akan menghabiskan masa sedekad akan datang hanya untuk bangkit semula," katanya.
"Undilah Republikan dan kita akan meninggalkan dunia di belakang kita untuk beberapa generasi akan datang."
Perhimpunan dua hari di Dallas itu, tempat Trump akan turut menyampaikan ucapan penutup pada Khamis selepas ucapan utama Naib Presiden JD Vance, menyorot sejauh mana nasib Parti Republikan terikat dengan Trump serta menjadi medan untuk menayangkan strategi mereka menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 Nov.
Acara itu begitu berpusat kepada presiden sehingga Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, Joe Gruters, secara tidak rasmi menggelarnya "Trumpapalooza," merujuk kepada festival muzik popular Lollapalooza.
Fokus kepada Trump itu merupakan pertaruhan berisiko bahawa dia boleh menggembleng pengundi yang membawanya ke kerusi presiden dua tahun lalu, walaupun tinjauan awam menunjukkan kadar kelulusannya jatuh ke paras terendah dalam sejarah.
Presiden itu berikrar untuk melakukan beberapa lawatan ke negeri dan kawasan parlimen persaingan sengit dalam tempoh delapan minggu menjelang Hari Pilihan Raya.
"Saya minta anda beranggapan seolah-olah nama saya ada dalam kertas undi," kata Trump, satu ungkapan yang mungkin menggembirakan ahli strategi kempen Demokrat sama seperti pengundi MAGA.
Konvensyen itu mengemukakan pilihan sukar terutamanya bagi ahli Parti Republikan yang berdepan pilihan raya sengit, yang mungkin perlu jarakkan diri daripada presiden untuk meluaskan sokongan tetapi tidak mampu memulaukan penyokong tegar Trump.
Ramai ahli Parti Republikan sedemikian tidak hadir ke konvensyen itu, termasuk Anggota Perwakilan Tom Barrett dari Michigan, Senator Dan Sullivan dari Alaska dan Senator Susan Collins dari Maine, yang kesemuanya berdepan cabaran sengit daripada calon Demokrat pada musim luruh ini.
Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka memilih untuk terbang ke Dallas.
Sekurang-kurangnya 16 calon dalam persaingan sengit Dewan Perwakilan dan Senat dijadualkan berucap, menurut jadual jawatankuasa parti. Antara yang berucap pada Rabu ialah Peguam Negara Texas Ken Paxton, sekutu rapat Trump yang terlibat dalam persaingan Senat yang sengit dengan wakil rakyat Demokrat James Talarico, dan Senator Ohio Jon Husted, yang menentang bekas Senator Sherrod Brown.
Walaupun Trump mendakwa arena 21,000 tempat duduk itu "padat," bahagian atas dewan sebahagian besarnya kekal kosong semasa ucapannya yang mengakhiri program Rabu.
Walaupun pegawai Parti Republikan menggambarkan konvensyen itu sebagai peluang untuk mempromosikan dasar Trump, kebanyakan penceramah terawal lebih banyak menumpukan serangan kepada Demokrat sebagai melampau dalam topik seperti wanita transgender dalam sukan dan keselamatan sempadan.
Isu yang konsisten dibangkitkan pengundi sebagai kebimbangan utama, iaitu perang Iran dan kos sara hidup, menerima tumpuan yang relatif kurang.
Perwakilan Negeri Alabama, Ernie Yarbrough, yang menghadiri konvensyen itu, berkata Trump perlu memberikan gambaran lebih jelas kepada pengundi tentang berapa lama perang di Iran boleh berlanjutan dan apakah matlamat pentadbiran tersebut.
"Rakyat mahu merasakan kita tidak tersangkut dalam kitaran tanpa penghujung," katanya.
Trump mempertahankan keputusannya untuk menyerang Tehran dengan berkata dia bertindak bagi menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear.
Dia juga berjanji harga minyak akan turun "sebaik sahaja kita memenangi perang dengan Iran," yang diikrarkannya akan berlaku tidak lama lagi.
Namun konflik itu menunjukkan sedikit tanda akan berakhir selepas lebih enam bulan AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, dan penganalisis berkata program nuklear Iran belum dihapuskan. Iran menafikan usaha mendapatkan senjata nuklear.
Sebelum Trump naik ke pentas, deretan penceramah menggelar Demokrat sebagai "sosialis" dan "komunis," mengulangi salah satu talian serangan kegemaran Trump berikutan beberapa kemenangan sosialis demokratik dalam pilihan raya primer Demokrat.
Demokrat adalah "bahaya, radikal dan pelik," kata Senator Tim Scott dari South Carolina, pengerusi jawatankuasa kempen Senat parti itu.
Program Rabu turut menampilkan video prarakaman mengejut daripada Senator Demokrat AS John Fetterman, yang memperkenalkan rakan senatornya dari Pennsylvania, Dave McCormick daripada Parti Republikan, sebagai "rakan baiknya" sambil mengisytiharkan bahawa dia akan bekerjasama dengan Trump untuk melindungi industri keluli negeri itu.
Penyertaan luar biasa Fetterman dilihat berkemungkinan menonjolkan jurang ideologi yang melanda Parti Demokrat menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
Fetterman, yang semakin kerap bertembung dengan ahli Demokrat haluan kiri, menafikan spekulasi bahawa dia mungkin meninggalkan parti itu.
Taruhan konvensyen ini tinggi untuk kedua-dua parti.
Dengan pilihan raya berbaki kurang daripada dua bulan, Parti Republikan berdepan prospek kehilangan kawalan ke atas sekurang-kurangnya satu dewan Kongres, dengan tinjauan awam menunjukkan pengundi Demokrat lebih bersemangat untuk mengundi dan kadar kelulusan Trump berada pada paras amat rendah.
Acara itu berdepan saingan sengit untuk menarik penonton berikutan permulaan musim NFL, dengan malam pembukaan bertembung dengan perlawanan ulangan Super Bowl antara New England Patriots dan Seattle Seahawks.
Namun, selepas berbulan-bulan berdepan tajuk berita negatif mengenai perang Iran dan inflasi, ramai ahli Parti Republikan melihat perhimpunan itu sebagai peluang terbaik untuk mempromosikan calon, menunjukkan perbezaan dengan Demokrat dan menyuntik semangat kepada pengundi Republikan yang kurang menunjukkan keghairahan untuk mengundi berbanding Demokrat, menurut tinjauan Reuters/Ipsos.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/2e42e5138a31d0b937c9d7eab55267f0.jpg)
