Noraini: Wanita Umno tak lupa jasa Najib, doa ‘pintu keadilan dan ihsan’ dibuka
Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad berkata sayap parti itu tidak melupakan jasa bekas perdana menteri Najib Razak, dan akan sentiasa mendoakan agar “pintu keadilan dan ihsan” dibuka supaya bekas pemimpin itu dapat kembali ke pangkuan keluarganya.
Dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita Umno hari ini, Noraini berkata Najib adalah antara pemimpin terdahulu yang telah mengorbankan sebahagian besar kehidupan mereka kepada Umno dan negara.
“Kita tidak perlu memadam sejarah untuk membina masa depan,” katanya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.
Menurut Noraini, sumbangan Najib terhadap pembangunan negara, transformasi ekonomi, infrastruktur, bantuan kepada rakyat dan perjuangan Umno merupakan sebahagian daripada perjalanan negara yang tidak boleh dinafikan hanya kerana politik berubah.
Katanya, Wanita Umno menghormati institusi dan proses perundangan berhubung kes yang telah dan sedang dihadapi Najib.
Namun, katanya, menghormati proses undang-undang tidak menghalang sayap parti itu daripada menzahirkan nilai kemanusiaan.
“Wanita Umno tahu mengenang jasa. Kepada Datuk Seri Najib dan keluarga, Wanita Umno mendoakan diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi setiap ujian.
“Kita terus berdoa agar pintu keadilan dan ihsan dibuka, supaya beliau dapat kembali ke pangkuan keluarga dan bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/cd3d425a124e65f827f444cd500f2d57.jpg)
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan terhadapnya dalam kes SRC International, melibatkan tujuh pertuduhan iaitu salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana syarikat itu.
Mahkamah mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta yang dikenakan Mahkamah Tinggi. Najib kemudian dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.
Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam ucapanny hari ini, Noraini berkata dalam perjuangan politik, Umno tidak seharusnya menjadi bangsa yang mudah lupa terhadap mereka yang pernah menyumbang kepada parti.
Tuntutan 30 peratus
Dalam perkembangan lain, Noraini turut membangkitkan tuntutan lama Wanita Umno supaya 30 peratus calon wanita diberikan ruang bertanding dalam pilihan raya.
Katanya, walaupun wanita sering dianggap sebagai “tulang belakang” Umno kerana mendekati pengundi, mengurus pusat daerah mengundi dan menjaga kebajikan masyarakat, suara mereka tidak seharusnya diketepikan ketika keputusan dibuat.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/9668cd8fc46fe64168fc3444ecf68ca2.jpg)
“Kita tak mahu hanya dipanggil ketika tenaga diperlukan. Wanita juga mesti berada di meja membentuk dasar dan bersama menentukan arah perjuangan.
“Kita telah terlalu lama bercakap tentang sasaran 30 peratus. 30 peratus di atas kertas. 30 peratus di atas pentas. Tetapi apabila tiba masa nak tentukan calon, nanti dululah,” katanya.
Noraini menegaskan tuntutan itu bukan dibuat atas dasar belas kasihan atau kerana wanita mahu jalan dipermudahkan.
Sebaliknya, katanya, Wanita Umno mahu kemampuan mereka dinilai secara adil dan peluang diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
“Saya tidak mahu Wanita meminta seseorang dipilih hanya kerana dia seorang wanita. Itu bukan perjuangan kita.
“Saya mahu apabila nama seorang wanita diangkat, bersamanya hadir kemampuan, integriti, rekod kerja dan keyakinan akar umbi,” katanya.
Dia berkata bagi mencapai sasaran itu, Wanita Umno akan memperkenalkan Laluan 30 Wanita Umno, termasuk mewujudkan Talent Bank atau Bank Bakat Wanita Umno bagi mengenal pasti dan mempersiapkan wanita berpotensi untuk memegang jawatan kepimpinan.
Talent Bank itu, katanya, akan mengenal pasti calon yang berpotensi untuk berkhidmat di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, Dewan Negara, syarikat berkaitan kerajaan serta kepimpinan masyarakat.
“Kalau kita tidak mencari dan membina mereka, orang lain akan melakukannya,” katanya.
/file/attachments/orphans/NorainiAhmad1_881171.jpg)
