Dua orang exco kerajaan Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pagi ini atas tuduhan menerima rasuah masing-masing bernilai RM100,000 dan RM5,000.

Exco perlancongan, modal insan dan NGO Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu didakwa melakukan kesalahan itu sebuah kafeteria di Ipoh pada 16 Ogos lalu.

Sementara exco pembangunan usahawan, koperasi, pertanian dan perdagangan, Jamaluddin Mohd Radzi dituduh bersama bekas wakil rakyat PKR bagi Bota, Kapt (B) Usaili Alias.

Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 Ogos lalu di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di Ipoh.

Mereka dituduh menerima habuan itu daripada Mohd Imran Abdullah untuk membangunkan tanah seluas 90 ekar (54 hektar) di Seri Iskandar.

Saman BPR, The Star RM100 juta

Dalam perkembangan berkaitan, Jamaluddin dan Mohd Osman hari ini memfailkan saman terhadap BPR, dua pegawai tingginya serta akhbar The Star di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh.

Badan itu, ketua pengarahnya Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, pengarah BPR negeri Samsiah Abu Bakar, dan Star Publications (M) Berhad dinamakan sebagai defendan.

Ketiga-tiga defendan antaranya didakwa bertindak dengan niat jahat serta mengatur tangkapan dan penahanan mereka.

Tindakan itu didakwa bertujuan menyakiti plaintif dan cuba membunuh dari segi politik serta memburukkan imej PKR untuk mempengaruhi keputusan pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.

Mereka menuntut ganti rugi am sejumlah RM100 juta untuk salah tangkap, salah tahan, pendakwaan berniat jahat, dan libel selain ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan apa-apa relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Defenden keempat Star Publication (M) Berhad dituntut ganti rugi am untuk libel, kos dan relif serta apa-apa relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah kerana berniat jahat dan salah mencetak dan menyebar dalam laporannya 21 Ogos lepas. Berita asal