Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan perjuangan reformasi lebih 20 tahun sebagai 'membuang masa dan tenaga' hanya mencerminkan kemunafikan politik PAS.

Saya ingin mengingatkan Tuan Ibrahim – PAS sendiri mendapat manfaat besar daripada reformasi. Pada PRU 1999, ketika gelombang itu sedang memuncak, PAS telah memenangi banyak kawasan yang selama puluhan tahun dikuasai BN. Tuan Ibrahim sendiri memenangi kerusi Jengka dengan majoriti 319 undi. Itu fakta.

Bahkan kerjasama PAS dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat yang tercetus rentetan Reformasi juga telah mengubah landskap pembangkang Malaysia. PAS akhirnya membentuk kerajaan dan memegang jawatan Menteri Besar serta Exco di beberapa negeri.

PAS perlu ingat, tuntutan Reformasi bukan sekadar soal menukar kerajaan. Ia termasuk perjuangan rakyat, kebebasan media, keadilan sistem pilihan raya, kemandirian institusi, pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa serta penolakan terhadap undang-undang zalim yang menekan rakyat.

Hari ini misalnya, ISA telah dimansuhkan. Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik akhirnya dilaksanakan. Ini bukan perkara kecil – jutaan rakyat sekarang ini mempunyai hak mengundi serta mempunyai tempat dalam proses demokrasi.


Pada 2022 pula, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan berkaitan larangan lompat parti. Ini juga Reformasi yang lahir daripada kesedaran bahawa mandat rakyat tidak boleh diperdagangkan sesuka hati oleh wakil yang dipilih. Ini juga semangat dalam Reformasi.

PAS jangan lupa juga. Tuntutan Reformasi terhadap kebebasan institusi, akauntabiliti penguat kuasaan dan kemandirian kehakiman bukan perkara yang baru muncul semalam. Ia lahir daripada perjuangan rakyat puluhan tahun berdepan penyalahgunaan kuasa, kelemahan institusi dan kawalan yang terlalu ketat terhadap ruang demokrasi.

Malah perubahan politik terbesar dalam sejarah moden negara berlaku pada 2018 apabila kerajaan yang memerintah lebih enam dekad akhirnya bertukar. Perlawanan terhadap skandal 1MDB misalnya membuktikan bahawa apabila rakyat, media dan masyarakat sivil terus menuntut kebenaran, tembok kekuasaan yang kelihatan kebal juga boleh diruntuhkan.

Adakah semua agenda Reformasi sudah selesai? Tidak. Masih banyak yang perlu diperbaiki – pembiayaan politik, kebebasan institusi, reformasi Parlimen, pengasingan kuasa, integriti, lawan rasuah dan banyak lagi. Tetapi 'belum selesai' tidak bermakna 'sia-sia'. Perubahan di mana-mana negara sekalipun pasti memakan masa. Rom tidak dibina dalam sehari.

Sebab itu saya hairan apabila perjuangan 25 tahun yang turut disertai oleh pelbagai kelompok politik dan masyarakat sivil dianggap sebagai 'buang masa dan tenaga' oleh PAS! Jangan kerana hari ini kita berada di pentas politik yang berbeza, sejarah Reformasi yang panjang mahu dipadamkan.

Saya ingin ingatkan Tuan Ibrahim, Reformasi adalah sebahagian daripada sejarah rakyat Malaysia. Bahkan ia juga menjadi sebahagian sejarah parti PAS. Rakyat dan negara mendapat manfaat daripadanya.

Mungkin hasil perjuangan Reformasi masih belum sempurna. Tetapi perubahan yang lebih baik untuk negara sudah dan sedang berlaku. Tindakan Tuan Ibrahim memperlekeh Reformasi dan menganggapnya 'sia-sia' adalah sangat tidak bertanggungjawab.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI Ahli Dewan Negara, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.