Ketika hampir semua penyokong Umno bersemangat melihat kehangatan hubungan di antara parti itu dengan PAS, pemimpin dari Terengganu sempat memberi pesanan tersendiri – supaya mereka lebih berhati-hari dengan pihak “satu lagi”.

Alasannya, kepimpinan utama Umno perlu memikirkan keberadaan Umno di Terengganu.

Wakil Umno Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya bimbang sejarah parti itu yang gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRU lalu berulang.

Pada masa sama, katanya, Umno Terengganu sudah mengatur strategi di seluruh negeri bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Justeru, kata bekas menteri besar itu lagi, Umno perlu memikirkan tentang apa yang sudang dilakukan sebelum ini dan tidak memikirkan “untung semata”.

"Kami sudah menyusun barisan, merapatkan saf, melipat ganda khidmat bakti, dari Kemaman ke Besut, dari Hulu Terengganu ke Kuala Terengganu, kami berjanji akan bangkit semula menebus maruah parti di bumi Darul Iman.

"Tetapi Datuk Seri Presiden, apabila berunding dengan pihak yang satu lagi tu, berhati-hatilah dan kena fikir-fikirkan juga kami.

"Jangan nanti adat berkira bertimbang rasa, adat berunding cari muafakat, jangan mengejar untung semata, biar bersama mendapat berkat.

“Berkira, berkira juga Datuk Seri, nanti balik-balik 40-0 pula. Jadi Datuk Seri berkira biar matang, berunding biar tenang," katanya dalam ucapan perbahasan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Umno (PAU) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Walaupun tidak menamakan pihak yang dimaksudkannya, kenyataan terbuka Ahmad Razif itu dipercayai merujuk kepada kerjasama yang sedang terjalin di antara Umno dan PAS.

Pada PRU ke-15 lalu, PAS-PN merekodkan prestasi cemerlang untuk mereka apabila menyapu bersih kesemua kerusi parlimen dan DUN di Terengganu.

Selasa lalu, Malaysiakini melaporkan Umno Terengganu menegaskan pihaknya sentiasa bersikap terbuka dalam soal kerjasama dengan parti-parti lain termasuk PAS di negeri itu, terutama selepas mereka menghantar isyarat yang mahukan perpaduan ummah.

Timbalan pengerusinya, Nik Dir Nik Wan Ku, bagaimanapun berkata ucapan pemimpin PAS dalam muktamar lalu untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenangi tidak mempamerkan semangat yang sepatutnya.

Nik Dir menyifatkan, istilah bergabung antara PAS dan Umno tidak bermakna sekiranya PAS membolot semua kerusi yang sudah mereka menangi sebelum ini.

Menurut Ahmad Razif, di sebalik persefahaman yang sedang dirangka antara kedua-dua parti itu dia berharap jangan sehingga Umno negeri itu 'tergadai'.

Katanya, jika dalam PAU tahun lalu Zahid melontarkan gagasan kolaborasi agung, terbaru pula tafahum siyasi atau persefahaman seperti yang berlaku di Negeri Sembilan.

"Mungkin (kerjasama) akan berlaku di Melaka. Jangan seorang saja menang, biar bersama-sama senang.

"Tapi iyalah sefaham-sefaham juga tapi jangan tergadai habis, terlondeh sampai berbogel kami di Terengganu ini," katanya yang juga ketua Umno Bahagian Kuala Nerus.