Setiausaha Agung Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail berpandangan adalah lebih afdal menunggu mandat Kerajaan Perpaduan tamat sehingga Februari 2028 sebelum parlimen dibubarkan.

Katanya, gesaan supaya pilihan raya umum (PRU) disegerakan perlu dilihat sebagai pandangan dan hak masing-masing.

"Saya tak sebut tak setuju, saya sebut lebih afdal. Sebab tempoh berbaki lama lagi.

"Kita ada (mandat) sampai Februari 2028, tempoh ini dikira dari tarikh ahli parlimen angkat sumpah, bukan tarikh PRU pada Nov 2022.

"Jadi,banyak benda lagi kita boleh buat, masa untuk memanfaatkan kedudukan kerajaan sekarang, urus ekonomi dengan cermat, tumpu kebajikan rakyat. tempoh setahun lebih ini cukup lumayan bagi kerajaan buat kerja untuk rakyat," katanya ketika sidang media di Nenasi, dekat Pekan, Pahang, hari ini.

Menteri Dalam Negeri itu hadir merasmikan program Kampung Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia di Sekolah Kebangsaan Nenasi.

Saifuddin mengulas demikian ketika ditanya mengenai gesaan supaya PRU dipercepatkan seperti yang dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2026 di WTC Kuala Lumpur sejak Rabu lalu.

Perkara itu juga antara isi ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, PRU16 perlu disegerakan kerana rakyat dikatakan semakin merindui kepimpinan BN.

Ahmad Zahid berkata, perkembangan politik di Negeri Sembilan dan Johor memberi keyakinan bahawa sokongan terhadap BN masih mempunyai ruang untuk kembali mengukuh.

Mengulas mengenai ucapan dasar Zahid, Saifuddin menjelaskan, terdapat titik persamaan kandungan ucapan itu dan ucapan disampaikannya semasa Konvensyen PKR bulan lalu.

"Politik identiti berlandaskan kaum dan agama ini tidak boleh hingga menakutkan kaum dan agama lain... dan perkara ini antara kandungan ucapan dasar Presiden Umno.

"Jadi, saya fikir ia satu anjakan besar dalam (pandangan) Umno. Maknanya, kita tidak boleh berjaya dengan menakutkan kaum lain. Ada titik persamaan di situ kerana PKR sekian lama memperjuangkan politik prestasi berbanding politik identiti," katanya.