Liwat: Tidak lengkap tanpa spesimen mangsa
Pemeriksaan perubatan awal terhadap mangsa salah laku seks tanpa spesimen daripada dirinya kepada unit forensik tidak muktamad, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican.
"Doktor perlu menghantar spesimen daripada diri mangsa kepada unit forensik. Semua ini mesti lengkap.
"Kita tidak boleh buat kesimpulan seseorang itu menjadi mangsa salah laku seks hanya daripada pemeriksaan awal," katanya, lapor Bernama .
Beliau mengulas risalah yang memuatkan laporan perubatan seorang doktor di Hospital Pusrawi ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Risalah itu, yang menyatakan tiada kesan liwat ditemui sewaktu pemeriksaan Dr Mohamed Osman Abdul Hamid terhadap pemuda itu seperti didedahkan media akhir bulan lalu, dilaporkan diedarkan kepada pengundi dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Mohd Saiful mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PKR dalam pilihanraya kerusi parlimen tersebut, yang dicabar oleh calon-calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat.
Menurut laporan agensi berita itu, kata Dr Ismail, seseorang doktor tidak dapat membuat laporan perubatan yang lengkap dalam kes jenayah seks termasuk liwat tanpa menjalankan empat ujian penting terhadap mangsa.
"Pertama, doktor itu perlu mempunyai maklumat mengenai kejadian yang didakwa oleh mangsa, kemudian menjalankan ujian kesihatan yang penuh, membuat pemeriksaan menyeluruh di bahagian sulit mangsa dan membuat siasatan," katanya seperti dilaporkan.
Beliau juga menyeru orang ramai agar tidak mempercayai risalah sedemikian.
"Tolong jangan terpengaruh dengan apa yang didakwa sebagai laporan perubatan ini kerana ia tidak lengkap.
"Pertama sekali kita tidak tahu sama ada laporan yang tersiar dalam risalah itu sahih atau tidak. Laporan perubatan perlu disahkan," beliau dipetik berkata selepas merasmikan persidangan kawal selia kebangsaan di Putrajaya hari ini.
Dr Ismail, yang membaca risalah itu menerusi Internet, berkata bahawa sebagai seorang profesional, beliau mendapati ia tidak lengkap.

