‘Wawasan halangan kecil muafakat PAS-Umno, agihan kerusi cabaran utama’
Jika Bersatu sebelum ini dan kini Parti Wawasan Negara (Wawasan) menjadi duri dalam daging bagi Umno, parti serpihan baru itu dilihat bukan faktor utama yang boleh menggagalkan gagasan penyatuan ummah antara PAS dan Umno.
Sebaliknya, penganalisis politik Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata pembahagian kerusi merupakan cabaran lebih kritikal yang perlu ditangani kedua-dua parti berkenaan.
Menurutnya, keberadaan Wawasan dalam Perikatan Nasional (PN) hanyalah halangan sampingan berbanding isu Bersatu yang menjadi antara punca kegagalan kerjasama PAS-Umno sebelum ini.
“Tidak, pada pandangan saya soal Wawasan ini hanya isu sampingan, halangan sampingan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/73c503d4b05bcce30f3f2e211a6bef5f.png)
“Cabaran paling utama adalah pembahagian kerusi PAS-Umno serta penguasaan siapa lebih dominan, faktor ini berisiko jadi faktor utama kegagalan gagasan kali ini,” katanya kepada Malaysiakini.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Terengganu itu berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran yang perlu didepani PAS dan Umno untuk mencapai kata sepakat serta menjayakan agenda penyatuan ummah.
Pada muktamar tahunannya di Kelantan baru-baru ini, PAS mengambil pendirian bahawa agenda penyatuan ummah antara dua parti tertua itu perlu direalisasikan dengan matlamat menerajui pentadbiran negara selepas PRU ke-16.
Umno turut dilihat menyambut baik usaha berkenaan. Namun, parti itu lebih cenderung untuk bekerjasama dengan PAS sahaja dan bukan parti lain dalam PN.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/feef3545bc8a0546686ae73f4c0e93f7.jpg)
Mohd Yusri berkata Wawasan merupakan parti serpihan Bersatu yang tidak diterima Umno sejak awal.
“Umno masih anggap Bersatu itu parti yang khianat mereka, terutamanya pemimpin yang lompat selepas BN kalah dalam PRU ke-14 pada 2018.
“Salah seorang yang lompat keluar Umno pasca PRU ke-14 itu sekarang sedang terajui Wawasan (Hamzah Zainudin).
“Luka masih berdarah, sukar untuk Umno nak maafkan. Kalaupun luka telah sembuh, parut tetap ada, susah Umno nak lupakan. Agenda Muafakat Nasional (MN) 1.0 dulu pun gagal salah satu sebabnya Umno tak nak Bersatu, sebaliknya PAS nak libatkan Bersatu,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri menyifatkan Wawasan sebagai parti kecil yang tidak mempunyai kekuatan akar umbi.
Malah, katanya, Wawasan sudah diberikan banyak kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) berbanding kekuatan sebenar parti itu.
“Umno tidak selesa dengan keadaan tersebut. Bagi pilihan raya akan datang, Umno lebih berminat bekerjasama dengan PAS, bukan PN yang ada bersamanya Wawasan,” katanya.
Kerjasama buka peluang PAS
Ditanya sama ada kerjasama dengan Umno akan menyebabkan peluang PAS mengangkat tokohnya sebagai perdana menteri semakin tipis atau tidak, Mohd Yusri berkata langkah itu sebaliknya akan membuka ruang lebih luas.
“Tidak juga (peluang tipis), sebenarnya kerjasama dengan Umno akan membuka lebih peluang untuk pemimpin PAS diangkat sebagai perdana menteri.
“Ini kerana, secara bersendirian melalui PN, secara logiknya PN tidak akan menang pilihan raya umum untuk tubuhkan kerajaan.
“Mereka memerlukan momentun kerjasama dengan Umno-BN, dan itulah jalan untuk mereka jadi perdana menteri apabila PAS-PN memenangi kerusi lebih banyak berbanding Umno-BN.
“PAS dan Umno sebenarnya berada dalam mood taltikal, memanfaatkan kelebihan rakan kongsi untuk menang dan kemudiannya mencatur untuk merebut kerusi sebagai perdana menteri,” kata Mohd Yusri yang juga merupakan ketua penyelidik Ilham Centre.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/05/884c9d980b61310728732e719883dea5.jpg)
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia Nur Ayuni Mohd Isa berkata tidak mustahil seorang pemimpin PAS diangkat sebagai calon perdana menteri sekiranya kedudukan politik, kekuatan kerusi dan mandat yang diperoleh parti itu selepas pilihan raya memberikan asas kukuh.
“Dalam membuat pertimbangan seperti ini, PAS lazimnya tidak melihat sesuatu isu hanya dari sudut jawatan atau kepentingan jangka pendek.
"Pendekatan mereka boleh difahami melalui kerangka fiqh al-awlawiyyat, iaitu meletakkan keutamaan kepada perkara yang dianggap lebih besar dan lebih penting berdasarkan keadaan semasa.
“Dalam konteks politik, ia boleh melibatkan soal kedudukan dan kepentingan Melayu-Islam, pembentukan kerajaan, kekuatan gabungan serta kemampuan untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.
Nur Ayuni berkata tiada pihak boleh membuat kesimpulan awal bahawa kerjasama PAS-Umno secara automatik bermakna PAS akan memberi laluan kepada Umno untuk mengisi jawatan perdana menteri.
“Kita juga tidak boleh menganggap bahawa PAS pasti akan menuntut jawatan tersebut.
“Sejarah politik PAS menunjukkan bahawa parti itu mempunyai keanjalan dalam membuat pertimbangan strategik.
"Ada keadaan di mana PAS mempunyai kekuatan politik yang signifikan tetapi memilih untuk memberi ruang kepada rakan politiknya menerajui kerajaan. Namun, itu tidak bermakna formula yang sama akan digunakan selama-lamanya,” katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/08/47486d198643b67639fb268b372738f0.jpg)
