Wawasan sasar 1,000 ahli setiap bahagian menjelang hujung Sept
Cabaran terbesar Parti Wawasan Negara (Wawasan) ketika ini adalah melengkapkan keahlian minimum 1,000 orang bagi setiap Bahagian menjelang hujung bulan ini.
Setiausaha Agungnya, Saifuddin Abdullah berkata keputusan menetapkan syarat berkenaan adalah bagi mengelakkan parti itu mengulangi kesilapan yang pernah berlaku sebelum ini.
"Bagaimana kita nak hadapi pilihan raya umum (PRU) jika ahli cuma ratusan, macam mana nak gerakkan jentera.
"Jadi kita letakkan syarat setiap bahagian perlu ada minimum 1,000 ahli kerana sebelum ini ada parti yang mendakwa memiliki ribuan ahli di atas kertas, tapi hakikatnya tidak sebegitu," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bahagian (Penaja) Wawasan Indera Mahkota, di Kuantan hari ini.
Bagaimanapun Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota optimis sasaran untuk mendaftarkan 1,000 ahli di setiap bahagian menjelang hujung September ini boleh dicapai.
Katanya, setiap ketua Bahagian dan Cawangan serta anggota jawatankuasa yang dilantik sedang giat mendaftarkan anggota baru di kawasan masing-masing.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/e4b20373214bd228f3f941aac54d8e55.png)
"Saya fikir ia boleh dicapai dan kita kena lihat bahawa parti Wawasan ini sebagai parti berwajah Malaysia.
"Kita bukan menolak politik identiti, ini (Wawasan) parti berwajah Malaysia mengikut komposisi demografi masyarakat majmuk dan mewakili seluruh rakyat," jelasnya.
Pertahan kerusi dimenangi
Ditanya mengenai kemungkinan dia mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota pada PRU akan datang, Saifuddin berkata prinsip asas dalam pembahagian kerusi adalah setiap penyandang akan mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka.
"Cuma ia bukanlah merujuk kepada calon (individu), tapi lebih kepada parti. Seperti di Indera Mahkota, ini kerusi milik parti dan perbincangan lanjut mengenainya akan dilakukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) tidak lama lagi.
"Mungkin (Wawasan) akan bertanding tapi calonnya belum tahu siapa... kena tunggu bila sampai masa, baru kita boleh tahu," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian Wawasan dalam agenda Penyatuan Ummah, Saifuddin berkata parti itu sentiasa bersedia menjadi jambatan untuk PN dan parti-parti lain yang sudi bekerjasama.
Katanya, objektif utama Wawasan dan PN adalah untuk melihat satu gabungan besar yang boleh bergerak bersama menuju Putrajaya.
"Kita mahu membina kerajaan yang stabil dan bagi tujuan itu, kita perlukan sokongan majoriti daripada kumpulan majoriti dan juga sokongan majoriti daripada kumpulan minoriti.
"Sebenarnya, ia mesti diterjemahkan dalam budaya kita berpolitik, cara membuat keputusan, menentukan keutamaan dan menangani perbezaan bagi membina kestabilan ini," katanya.
/file/attachments/orphans/SaifuddinAbdullah_550777.jpg)
