Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan mesyuarat khas diadakan esok bagi meneliti langkah mitigasi segera susulan keresahan orang ramai berhubung kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.

Anwar berkata mesyuarat itu akan membabitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Menurutnya, kerajaan mengambil maklum keluhan pengguna yang berdepan peningkatan bil, khususnya isi rumah yang penggunaan elektrik bulanannya melebihi 600 kilowatt-jam (kWj).

“Sekembali dari India dan Maldives, perhatian saya terus tertumpu kepada keresahan rakyat terkait kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.

“Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata kerajaan akan terus mempertahankan pendekatan penyasaran subsidi bagi memastikan majoriti pengguna domestik kekal dilindungi.

Katanya, kira-kira 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600kWj sebulan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.

Bagaimanapun, dia berkata keadaan jerebu dan cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik sesetengah isi rumah.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan sebahagian pengguna melepasi paras 600kWj sebulan dan seterusnya tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Baru-baru ini kenaikan bil elektrik mencetuskan kempen di media sosial menggunakan tanda pagar #BilNaikTNB, dengan pengguna dan aktivis mempersoalkan struktur caj serta penjelasan mengenai kenaikan bil yang didakwa sukar difahami.

Dalam satu hantaran di media sosial, wartawan yang juga aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad menyeru orang ramai meneruskan kempen berkenaan bagi membawa isu caj elektrik kepada perhatian lebih meluas.

Dia turut mengajak golongan muda menyertai kempen itu dengan alasan ia dapat membantu kumpulan rentan dalam kalangan pengguna elektrik.

Zainal berkata kempen #BilNaikTNBTragediOktober turut dirancang untuk dijalankan pada satu tarikh pada Oktober ini.

Dia juga turut mendesak TNB mengadakan sidang media secara terbuka bagi menjelaskan isu bil elektrik, dengan menjemput wakil media, persatuan pengguna serta pengguna yang mendakwa terbeban dengan kenaikan bil.

“Sampai hari ini TNB masih belum menjawab masalah ini secara terbuka, hanya mengeluarkan kenyataan media,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menetapkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600kWj sebulan terus dilindungi daripada caj AFA.