Ketika kerjasama PAS-Umno masih menjadi perbahasan antara kedua-dua parti dan agenda penyatuan ummah sedang menanti titik persamaan, Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Sulaiman tampil dengan cadangan agihan kerusi melalui formula ‘persamaan linear’.

Melalui perumpamaan formula matematik iaitu ‘y=mx+c’ jelasnya, muafakat (M), kerusi penyandang BN-PN (X) bagi mengelak pertembungan dan menjadi asas kekuatan dan kerusi marginal PH (C) boleh ditawan dengan mengelak pertindihan untuk memperluaskan pengaruh.

“Ini formula ‘muafakat’ yang terbukti menjadi di Negeri Sembilan , sehingga kerajaan PH boleh ditumbangkan.

“Asasnya, pertama pertahan, kedua perluaskan. Sekalipun ada pertukaran, serahkan kepada presiden parti untuk tentukan.

“Insya-Allah jika formula ‘linear’ ini diambil kita, perkiraan mudah: majoriti melebihi 112 kerusi parlimen dan menang 10 negeri di semenanjung, termasuk Selangor.

“Jika kena cara, impaknya lebih berganda (exponential). Tidak perlu saya huraikan,” katanya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan betapa rundingan kerusi dalam PRN Melaka dengan Umno-BN menjadi kunci kepada kerjasama seterusnya.

Malah dia menegaskan PRN Melaka merupakan ujian buat Umno dalam merealisasikan usaha kerjasama antara kedua-dua parti itu.

“Melaka jadi medan ujian untuk depa (mereka), saya dah cadangkan tempob hari tak bolehlah tengok Melaka sebagai medan nak runding dalam konteks kotak itu saja, bukalah kotak bagi luas, senang berunding.

“Saya harap benda (cadangan) itu diterima, kalau esok depa nak mai di sini, nak mai Kelantan, Terengganu tentulah depa pun nak kerusi. Jadi bukalah kerusi di Melaka,” katanya.

Menteri besar Kedah itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai proses rundingan kerusi di sebalik agenda perpaduan ummah yang dibawa PAS dan Umno.

Ia selepas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mencadangkan kepada partinya supaya menguji keikhlasan PAS dengan mengadakan pilihan raya di Terengganu.

Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok turut mengakui usaha penyatuan ini tidak mudah dan pasti ada pihak yang cemburu dan iri hati.

Katanya, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sudah mengingatkan, rundingan kerusi akan menjadi ujian penyatuan ummah.

“Jangan menang secupak, rugi segantang. Presiden PAS (Abdul Hadi Awang)pula memberi peringatan, jangan sampai lesung dan alu berlaga, ayam yang kenyang.

“Pintu penyatuan hendaklah terbuka, inklusif, bagi mengumpulkan seluruh kekuatan Melayu-Islam, melibatkan parti politik, tokoh berpengaruh dan NGO yang bersedia mencari titik persamaan.

“Pada masa yang sama, kerjasama perlu diperluaskan kepada parti dan masyarakat bukan-Melayu yang membawa pendekatan sederhana serta memahami realiti kemajmukan Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, agenda penyatuan ummah pasti akan jatuh dan luntur jika bersandar pada sentimen harapan.

“Namun jika bersandar pada kesedaran, langkah akan lebih teratur. Jika diperkukuh dengan integriti dan prestasi, perjalanan insya-Allah akan lebih jauh. Dalam soal penyatuan ummah, PAS tetap konsisten mengikut ‘roadmap’ al-Quran dan sunnah.

“Segalanya demi mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan watan, tanpa menafikan hak bukan-Islam; supaya Malaysia terus makmur, stabil, dan harmoni.

“Cahaya di ufuk sudah kelihatan. Namun jalan di hadapan masih berliku. Kini terserah kepada sekalian pembesar kabilah yang budiman,” kata Syahir lagi.