Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan dilaporkan akan bermesyuarat semula esok bagi membincangkan permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak, seminggu selepas pertimbangannya ditangguhkan.

Menurut The Straits Times, lembaga itu akan bersidang pada 18 September dengan permohonan Najib dilaporkan menjadi satu-satunya perkara dalam agenda.

Bagaimanapun, belum ada pengesahan rasmi mengenai mesyuarat berkenaan setakat berita ini ditulis.

Akhbar Singapura itu memetik sumber rasmi sebagai berkata langkah mengadakan satu lagi mesyuarat dalam tempoh begitu singkat dianggap luar biasa kerana penetapan mesyuarat sedemikian lazimnya merupakan prerogatif pihak eksekutif.

“Ini langkah yang sangat jarang berlaku. Secara tiba-tiba, Lembaga Pengampunan akan mengadakan satu lagi mesyuarat dengan hanya satu perkara dalam agenda.

“Saya fikir terdapat sejenis campur tangan,” kata sumber itu yang enggan dinamakan kerana perkara berkenaan bersifat sensitif.

Dakwaan ini belum dapat disahkan secara bebas. Istana Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh pula dilaporkan belum memberikan respons terhadap permintaan untuk mendapatkan ulasan ketika laporan itu diterbitkan.

Sementara itu, sumber peringkat tertinggi Putrajaya yang dihubungi Malaysiakini enggan mengesahkan sama ada mesyuarat berkenaan akan berlangsung esok.

“Maaf, saya tidak boleh sahkan sama ada mesyuarat diadakan esok atau sebaliknya.

"Tapi, sekiranya mesyuarat diadakan esok, ia diadakan sempena Hari Malaysia pada 16 September ini.

"Manakala yang sebelumnya memberikan pengampunan sempena Hari Merdeka yang diraikan pada 31 Ogos,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan sedang menunggu pengesahan rasmi.

Permohonan Najib tidak diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri kemudian memaklumkan bahawa Agong berkenan menangguhkan pertimbangan permohonan itu ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.

Pada mesyuarat sama, Agong berkenan memberikan pengampunan kepada 65 banduan. Banduan bukan warganegara yang menerima pengampunan pula diarahkan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan.

PH sebelum ini menegaskan individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, terutama dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani hukuman penuh yang ditetapkan mahkamah.

Najib, 73, mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes SRC International.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan yang ketika itu dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Bekas presiden Umno itu turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion pada 2025 selepas disabitkan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB berasingan.

Dia sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman itu.