AGC: MB, exco N Sembilan tiada kuasa singkir Tuanku Muhriz
Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku pemerintah negeri adalah tidak sah.
Kenyataan itu menyusuli sidang media Menteri Besar Ismail Lasim pagi tadi yang mengesahkan pentadbiran negeri telah membincangkan dan memutuskan sebulat suara pada 15 September untuk menerima perisytiharan Undang Negeri Sembilan bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
AGC berkata menteri besar dan exco negeri tidak mempunyai kuasa sepihak untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Menurutnya, kesahan serta kesan perisytiharan itu perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.
/file/1273/704a2fa30d28d0b62ffe40ec6b0ef3fe.jpeg)
“Kenyataan media atau pengumuman oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tersebut adalah dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang,” katanya.
AGC mengulangi pendiriannya bahawa perisytiharan itu tidak sah kerana tidak mematuhi syarat mandatori di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Menurut badan perundangan persekutuan itu, tiada bukti menunjukkan mana-mana alasan kehilangan kelayakan yang ditetapkan di bawah Perkara 10(1) terpakai terhadap Tuanku Muhriz.
Walaupun mengakui Undang mempunyai kuasa berkaitan penyingkiran Yang di-Pertuan Besar, AGC berkata Perkara 10 turut menetapkan tatacara dan pertimbangan yang wajib dipatuhi sebelum keputusan sedemikian boleh dibuat.
“Setakat hari ini, tiada fakta yang menunjukkan tatacara diperuntukkan tersebut telah dipatuhi,” katanya.
Pertikaian status Undang
AGC turut mempersoalkan sama ada beberapa Undang yang menandatangani perisytiharan pada 19 April masih memegang jawatan mereka secara sah ketika itu.
Menurutnya, status beberapa penandatangan dipertikaikan selepas mereka didakwa disingkirkan mengikut peraturan adat di luak masing-masing.
Pada 19 April, Undang berkenaan—Mubarak Thahak (Sungai Ujong), Maarof Mat Rashad (Jelebu), Muhammad Abdullah (Johol) dan Abdul Rahim Yasin (Rembau)—bersama Tunku Besar Tampin serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong menandatangani dua perisytiharan berhubung kedudukan pemerintah negeri.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/53ad6e7566fb527f7336ef2c0a1cefb7.jpg)
Perisytiharan pertama untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz dibuat selepas mereka didakwa memulakan siasatan sendiri terhadap baginda pada 5 Mac berhubung dakwaan pelanggaran tugas diraja.
Mereka memutuskan bahawa pelanggaran yang tidak diperincikan itu dilakukan dengan sengaja sehingga mencemarkan institusi diraja.
Perisytiharan kedua pula bertujuan melantik Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) kemudian menolak kedua-dua perisytiharan itu dengan mendakwa ia tidak dibuat mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri.
Perkara itu kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban yang pada 5 Jun membenarkan injunksi sementara bagi mengekalkan status quo sementara pertikaian tersebut diselesaikan.
Selepas Ismail memegang jawatan susulan pilihan raya negeri pada Ogos, kumpulan di sebalik perisytiharan itu mendakwa dia menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos, yang menurut mereka melengkapkan proses di bawah Perkara 10(2).
Pada mulanya, Ismail menegaskan kesetiaannya kepada Tuanku Muhriz sebelum mendakwa dia menandatangani dokumen itu di bawah tekanan.
Dakwaan tersebut dipertikaikan peguam yang mewakili kumpulan penyokong perisytiharan berkenaan.
Bagaimanapun, exco negeri kemudian mengumumkan bahawa mereka menganggap perisytiharan April itu sah.
DKU kekal pendirian Tuanku Muhriz pemerintah sah
Sementara itu, DKU mengekalkan pendirian bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.
Dewan itu berkata hari ini bahawa persoalan berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan dan penyingkiran Yang di-Pertuan Besar serta Undang, terletak di bawah bidang kuasanya menurut Perkara 16 perlembagaan negeri.
AGC turut mengambil maklum bahawa Perkara 16 memberikan DKU bidang kuasa terhadap perkara adat berkaitan pelantikan dan penyingkiran seseorang Undang, dengan nasihatnya mengenai persoalan sedemikian dianggap muktamad.
Menurut AGC, tiada asas undang-undang bagi exco untuk bersandarkan perisytiharan April itu.
Katanya, sebarang langkah untuk mewartakan atau melaksanakan perisytiharan berkenaan, berdasarkan pandangannya, tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan.
AGC turut mengambil maklum bahawa prosiding berkaitan masih berjalan di Mahkamah Tinggi Seremban dan suatu injunksi interlokutori masih berkuat kuasa.
Jabatan itu menggesa semua pihak menghormati proses mahkamah dan membenarkan perkara berkenaan diselesaikan secara teratur.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/eb3d2473bb06041598c1039792a82bdf.jpg)
