Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menafikan dia menandatangani dokumen yang didakwa membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.

Mengulas dokumen yang tular di media sosial itu, Yeoh menyifatkannya sebagai palsu.

“Saya tidak pernah menandatangani perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial. Lembaga Pengampunan masih belum bersidang.

“Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini.

“Setiausaha akhbar saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya pada kenyataan ringkas malam tadi.

Dokumen berkenaan yang memaparkan imej didakwa sebagai mohor diraja, mendakwa Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersetuju supaya Najib diberikan pengampunan.

Ia turut mendakwa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan memerintahkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah di kediamannya.

Dokumen itu juga mendakwa Najib masih perlu membayar semua denda yang dikenakan terhadapnya dan akan dikenakan tambahan hukuman penjara setahun jika gagal berbuat demikian.

Dalam pada itu, Yeoh meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan dokumen berkenaan.

Dokumen itu tersebar ketika media melaporkan Lembaga Pengampunan dijangka bersidang semula hari ini untuk mempertimbangkan permohonan Najib, hanya seminggu selepas perkara tersebut ditangguhkan.

Laporan mengenai mesyuarat pada 18 September itu belum disahkan secara rasmi.

Selepas mesyuarat pada 11 September, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan menangguhkan pertimbangan permohonan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.

Pada mesyuarat sama, Agong turut berkenan memberikan pengampunan kepada 65 banduan.

Banduan bukan warganegara yang diberikan pengampunan pula diarahkan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan.

Pada Rabu, Yeoh berkata pandangan yang dizahirkannya mengenai permohonan Najib dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September dibuat selepas meneliti pandangan bertulis peguam negara.

“Saya menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani saya demi kepentingan negara.

“Tentunya, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Negara, kuasa dan keputusan muktamad terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong termasuk untuk menangguhkan apa-apa keputusan mengenai pengampunan Najib,” katanya.

Kemungkinan permohonan Najib dipertimbangkan semula turut mencetuskan pertikaman lidah antara Pakatan Harapan (PH) dan Umno.

Majlis Presiden PH sebelum ini, tanpa menamakan sesiapa, menyatakan individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, terutama dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani hukuman penuh yang dijatuhkan mahkamah.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada Disember 2025, Najib turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas disabitkan atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB.

Hukuman itu akan bermula selepas dia selesai menjalani hukuman dalam kes SRC. Najib sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.