ULASAN | Pengampunan Najib ubah cara hukuman, bukan padam keputusan mahkamah
ULASAN | Akhirnya berita yang ditunggu sekian lama oleh keluarga, penyokong Najib Razak dan sebahagian besar akar umbi Umno tiba juga. Hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada bekas perdana menteri itu. Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat yang ditetapkan.
Tentulah keluarga Najib paling lega. Umno dan mereka yang selama ini memperjuangkan nasib bekas presidennya juga mempunyai sebab untuk bergembira. Tidak perlu berpura-pura bahawa isu Najib sudah hilang nilai politiknya dalam Umno. Sudah bertahun-tahun perkara ini hidup dalam parti, dibawa dalam ucapan, mesyuarat dan perhimpunan, malah menjadi antara isu yang masih mampu menyatukan sebahagian besar penyokongnya. Jadi tahniah kepada mereka yang selama ini memperjuangkannya. Hari ini mereka sudah mendapat sebahagian daripada apa yang mereka minta.
Cuma sekarang timbul satu persoalan yang lebih menarik. Mereka yang selama ini paling lantang bercakap tentang kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada institusi, kebebasan badan kehakiman dan bahaya campur tangan politik, bagaimana pula hari ini? Selama bertahun-tahun rakyat diingatkan supaya menghormati proses dan menerima keputusan institusi walaupun tidak menyukainya. Itu betul. Masalah biasanya bermula apabila keputusan yang keluar tidak kena dengan selera sendiri. Tiba-tiba perkara yang semalam sangat jelas menjadi kabur, konteks baru mula dicari dan proses yang sama mula dilihat dengan penuh syak wasangka.
Kalau mahu mengatakan ada campur tangan politik, tunjukkan di mana campur tangannya? Kuasa pengampunan bukan diwujudkan hari ini khusus untuk Najib Razak. Perkara 42 sudah lama wujud dan Lembaga Pengampunan juga bukan institusi yang muncul selepas makan tengah hari semata-mata kerana seorang bekas perdana menteri membuat permohonan.
Tak sepadan naratif sendiri
Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan, kuasa pengampunan memang tersedia dalam kerangka perlembagaan negara. Seseorang boleh tidak bersetuju dengan keputusan hari ini, boleh mempersoalkan kewajarannya dan boleh bertanya tentang implikasinya terhadap persepsi keadilan. Semua itu wajar. Tetapi kalau mahu mengatakan proses itu sendiri telah dicemari, dakwaan seperti itu perlu datang dengan bukti.
Pada masa yang sama, penyokong Najib juga jangan terlalu gembira sampai mahu menulis semula sejarah. Pengampunan bersyarat tidak bermaksud Mahkamah Persekutuan mengubah keputusannya. Najib tetap pernah disabitkan dalam kes SRC International dan sabitan tujuh pertuduhan terhadapnya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2022.
Pengampunan mengubah cara baki hukuman dijalani, bukannya memadam keputusan mahkamah yang telah dibuat. Kalau hari ini mahu orang lain menghormati keputusan Lembaga Pengampunan, rekod mahkamah juga perlu dihormati. Tidak boleh satu institusi dianggap mulia kerana keputusannya menyenangkan kita, sementara satu lagi cuba dilupakan kerana keputusannya tidak membantu naratif sendiri.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/58f6e99a2e7778f4be06446433048d91.jpg)
Najib boleh menjadi seorang bekas perdana menteri yang pernah membawa dasar dan pembangunan yang masih dihargai sebahagian rakyat, dan pada masa yang sama menjadi seorang bekas perdana menteri yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah. Dua perkara itu boleh wujud serentak. Ada rakyat yang masih mengingati BR1M, pembangunan infrastruktur, pengangkutan awam dan pelbagai program sepanjang sembilan tahun pentadbirannya. Ada pula yang melihat legasinya melalui SRC, 1MDB dan persoalan tadbir urus. Tidak perlu memadam satu bahagian hanya kerana mahu mempertahankan bahagian yang lain.
Politik Malaysia memang tidak asing dengan kecenderungan melihat semuanya secara hitam atau putih. Kalau suka seseorang, semua yang dibuatnya mesti baik. Kalau tidak suka, semua yang pernah dilakukannya mesti dianggap tidak bernilai. Sebab itu keputusan hari ini sebenarnya lebih banyak menguji sikap orang yang melihatnya daripada mengubah fakta tentang Najib sendiri.
Mereka yang sebelum ini lantang bercakap tentang institusi perlu menunjukkan bahawa prinsip itu masih sama apabila hasilnya tidak memihak kepada mereka. Mereka yang meraikan keputusan Najib pula perlu ingat bahawa prinsip yang sama mesti digunakan apabila pada masa hadapan institusi negara membuat keputusan yang mereka sendiri tidak suka.
Tak perlu guling-guling atas jalan raya. Tak perlu juga berpura-pura Najib baru sahaja dibebaskan daripada segala tuduhan. Beliau mendapat pengampunan bersyarat bagi baki hukuman SRC. Itu kedudukan yang tepat. Malah masalah undang-undangnya belum selesai sepenuhnya. Dalam kes 1MDB yang berasingan, Mahkamah Tinggi pada Disember lalu mensabitkan Najib atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion. Beliau sedang mencabar keputusan tersebut melalui proses rayuan, maka kes itu masih belum sampai ke penghujungnya.
Mahkamah menjalankan fungsi kehakiman. Lembaga Pengampunan pula melaksanakan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Kedua-duanya wujud dalam sistem negara yang sama dan tidak perlu dipaksa menjadi lawan antara satu sama lain.
Kalau mahu membahaskan sama ada tahanan rumah patut diberikan kepada seorang bekas perdana menteri, bahaskan. Kalau mahu bertanya bagaimana pula nasib banduan lain yang tidak mempunyai nama besar, tanya. Kalau mahu mempersoalkan sama ada layanan terhadap tokoh politik memberi kesan kepada persepsi kesamarataan di sisi undang-undang, itu juga persoalan yang sah. Tetapi jangan ubah prinsip hanya kerana nama penerimanya membuat kita marah atau gembira.
Tak ubah nasib rakyat biasa
Bagi majoriti rakyat, keputusan hari ini tidak akan mengubah kehidupan esok pagi secara langsung. Harga barang tidak turun kerana Najib menjalani tahanan rumah. Gaji tidak naik. Sewa rumah dan ansuran kereta tetap perlu dibayar. Bagi rakyat yang sedang memikirkan beras, sekolah anak, hutang dan kerja, Najib berada di Kajang atau di rumah bukan perkara yang akan menambah RM200 dalam akaun bank mereka.
Tetapi itu tidak bermaksud keputusan ini tidak penting. Cara negara mengurus seorang bekas perdana menteri yang telah disabitkan kesalahan tetap memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap institusi, keadilan dan tanggapan bahawa kuasa negara mesti digunakan secara konsisten.
Sebab itu keputusan ini wajar dibincangkan dengan tenang dan terbuka. Penyokong Najib boleh melihatnya sebagai satu bentuk kelegaan selepas perjuangan panjang. Pengkritiknya pula boleh terus mempersoalkan sama ada layanan seperti ini wajar diberikan kepada seorang tokoh politik besar. Kedua-duanya sah. Yang tidak wajar ialah apabila standard berubah mengikut nama, parti atau siapa yang mendapat manfaat.
Kalau hari ini kita mahu keputusan institusi dihormati, kita juga perlu bersedia menghormatinya apabila keputusan seterusnya tidak menyebelahi kita. Kalau hari ini kita bercakap tentang belas ihsan, jangan lupa bercakap tentang keadilan. Kalau hari ini kita bercakap tentang keadilan, jangan pula berpura-pura bahawa kuasa pengampunan tidak pernah wujud.
Najib mendapat pengampunan bersyarat. Sabitan SRC kekal sebagai rekod kehakiman. Proses undang-undang lain yang melibatkan beliau masih berjalan. Itu realitinya.
Selebihnya ialah soal sama ada prinsip yang kita laungkan selama ini benar-benar prinsip, atau sekadar ayat yang kita gunakan apabila sesuai dengan politik sendiri.
MAHATHIR MOHD RAIS ialah bekas setiausaha Bersatu dan PN Wilayah Persekutuan yang kini menganggotai PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/6d025f82c241086b1eb417d0900d32e3.jpg)
