Timbalan Setiausaha Agung DAP Hannah Yeoh berkata keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu berhubung tawaran Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan adalah muktamad dan perlu dihormati.

Menurut Yeoh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), keputusan itu dibuat selepas CEC mengambil kira pandangan yang dikemukakan dalam mesyuarat berkenaan.

“Keputusan akhir iaitu keputusan muktamad CEC, this is the highest decision-making body (badan pembuat keputusan tertinggi), telah membuat keputusan bahawa YB Anthony Loke menawarkan diri untuk meletak jawatan.

“Dan itu adalah keputusan CEC. Perbincangan lain saya tak nak dedahkan kerana itu adalah dalam perbincangan CEC, tetapi kita kena hormati keputusan yang CEC telah buat,” katanya pada sidang media mengenai Bazar Deepavali 2026 di Putrajaya hari ini.

Gambar fail, Loke dan Yeoh.

Yeoh berkata demikian ketika ditanya sama ada dia berasa tertekan untuk turut meletakkan jawatan susulan tawaran peletakan jawatan Loke, memandangkan kedudukannya dalam Lembaga Pengampunan.

Sabtu lalu, Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukumannya secara tahanan rumah.

Bagaimanapun, dia berkata menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Loke, yang juga setiausaha agung DAP, berkata surat peletakan jawatannya akan dihantar kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Anwar pula berkata perkara itu akan dibincangkan selepas lawatannya ke China.

Sementara itu, Yeoh enggan mengulas ketika ditanya sama ada Lembaga Pengampunan akan mendedahkan minit mesyuaratnya.

“No comment on Lembaga Pengampunan,” katanya.

Ditanya mengenai gesaan Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali supaya Anwar menggugurkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada kabinet, Hannah meminta soalan itu dirujuk kepada pemimpin yang berkenaan.

“Kena tanya pembuat kenyataan tersebut,” katanya.

Yuran bazar turun 85 peratus

Dalam perkembangan lain, Yeoh mengumumkan kadar penyertaan Bazar Deepavali 2026 diturunkan sebanyak 85 peratus daripada RM2,626 kepada maksimum RM400, termasuk cagaran.

Katanya, langkah itu selaras dengan pendirian kerajaan untuk mengurangkan kos berniaga bagi penjaja di Kuala Lumpur.

Tempoh operasi bazar itu turut dipanjangkan daripada 21 kepada 30 hari, bermula 9 Oktober hingga 7 November.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Fadlun Mak Ujud berkata sebanyak 172 ruang niaga dan promosi disediakan tahun ini, berbanding 164 pada tahun lalu.

Dari jumlah ruangan itu, 122 petak disediakan di tempat letak kereta Kompleks Tun Sambanthan di Jalan Tun Sambanthan, manakala 20 lagi di tempat letak kereta Jalan Bunus 6, Little India.

Kira-kira 30 ruang pula disediakan bagi aktiviti promosi oleh pekedai di sepanjang Jalan Brickfields.

Menurut Fadlun, proses pengundian petak bazar akan dijalankan pada 22 dan 23 September.

Empat persatuan masing-masing ditawarkan 25 petak, termasuk Malaysia Hindu Sangam Wilayah Persekutuan serta tiga persatuan peniaga dan penjaja.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membelanjakan hampir RM1.5 juta untuk menyediakan kemudahan bazar berkenaan.

Fadlun berkata DBKL turut mengambil kira masalah kesesakan di Jalan Tun Sambanthan dan akan melaksanakan kawalan lalu lintas sepanjang tempoh bazar itu berlangsung.