Pemilik minyak masak bersubsidi dikenakan waran tangkap lepas gagal hadir mahkamah
Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, Kelantan hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap pemilik perniagaan minyak masak bersubsidi selepas beliau gagal hadir bagi menghadapi 42 pertuduhan berkaitan kegagalan mengurus rekod dan dokumen barang kawalan minyak masak bersubsidi.
Hakim Nik Habri Muhamad mengeluarkan waran tangkap terhadap Orang Kena Saman (OKS) Pui Tiong Lam, 61, selepas lelaki itu gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding pendakwaan hari ini tanpa alasan yang kukuh.
Hari ini Pui sepatutnya didakwa dengan 42 pertuduhan iaitu, 41 pertuduhan terhadap kegagalan menyelenggara buku stok barang kawalan berjadual minyak masak subsidi mengikut Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Lelaki itu juga sepatutnya di dakwa atas kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan barang kawalan minyak masak, mengikut Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Kesemua kesalahan itu, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Siti Edabayu Subhan berkata pihaknya tidak menerima sebarang dokumen sijil sakit daripada Pui, bagi menjelaskan ketidakhadirannya di mahkamah.
“Justeru, pihak pendakwaan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap OKS untuk didakwa atas kesemua pertuduhan berkenaan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Nov depan untuk sebutan berkaitan waran tangkap berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa KPDN Muhammadi Iman Masjuri ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata Lelaki itu sepatutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas 42 pertuduhan, manakala 30 lagi pendakwaan dikemukakan esok.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/c94cf75e36a36f63e81c4e9112c919e1.jpg)
