Jika seseorang rakyat Malaysia hanya memberi perhatian kepada pergolakan politik negara, tentulah ia berasa negara ini berada dalam gejolak dan kemelut, lebih-lebih lagi paparan di media sosial memunculkan rentetan isu yang berpanjangan, siang dan malam.

Daripada Najib Razak dibenarkan ditahan di rumah dan tawaran Anthony Loke untuk meletak jawatan kepada proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar dan pemecatan kesemua exco kerajaan Negeri Sembilan, tentulah dirasakan bahawa Malaysia ini sedang melalui pergolakan dan kekusutan.

Maka tidak hairanlah ada penyokong PAS yang menyatakan bahawa bawah kepimpinan Anwar Ibrahim, negara ini sentiasa dirundung dengan isu dan pelbagai masalah.

Tetapi sebenarnya tidak begitu. Ini kerana para penyokong PAS itu hanya memfokuskan kepada perkara-perkara negatif. Perkara ini dapat difahami kerana mereka adalah pembangkang.

Sedangkan perdana menteri telah memimpin negara dengan lancar sejak tahun 2022. Segala masalah yang datang diselesaikan satu persatu. Beliau telah berjaya mengimbangi pelbagai kepentingan. Ekonomi berkembang dan rakyat disantuni dengan pelbagai polisi khususnya subsidi bersasar dalam keadaan negara menanggung beban hutang yang banyak akibat kesilapan-kesilapan terdahulu. Keadaan ini berlaku walaupun partinya, Pakatan Harapan tidak memperoleh majoriti dalam pilihan raya umum lalu.

Tentulah sebagai rakyat biasa yang hanya memperoleh maklumat dari media massa dan media sosial, saya tidak mengetahui secara dekat dan lengkap mengenai apa yang berlaku dalam kerajaan. Tetapi apa yang saya lihat dari luar, Malaysia ditadbir dengan baik dalam keadaan dunia yang mencabar dan memerlukan kaedah baharu untuk menghadapinya.

Kedudukan setiap warganegara adalah menurut generasi masing-masing yang berada dalam tempoh waktu tertentu. Lain generasi tentulah memandang sesuatu perkara secara berbeza. Sudut pandangan generasi “boomer” tentulah tidak sama dengan apa yang diperkirakan oleh Generasi Z. Perubahan pasti berlaku. Aspirasi generasi dahulu sedang memasuki lipatan sejarah. Dalam pada itu, setiap generasi tidaklah monolitik dan statik. Dalam setiap generasi terdapat pelbagai jalan fikiran yang berubah kerana ada penambahan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran.

Saya hidup bawah 10 perdana menteri, dari Tunku Abdul Rahman dan mulai mengikut perkembangan politik sejak tahun 1973 semasa Tun Razak Hussein menjadi perdana menteri. Saya menjadi wartawan politik dari tahun 1982 ketika Mahathir Mohamad pemimpin negara.

Dari dahulu, keadaan politik negara sentiasa bergolak dan berada dalam kemelut sekiranya seseorang mahu melihat dari sudut negatif semata-mata. Tetapi dalam pergolakan itu, sisi Malaysia yang baik dan bergerak maju sentiasa berlaku bawah semua perdana menteri.

PM dan masalah-masalah tertunggak

Tentulah keupayaan perdana menteri yang berlainan adalah berbeza. Perdana menteri yang berbeza itu tidak boleh dibanding-bandingkan kerana mereka berada dalam situasi yang berbeza. Sudah tentu Anwar tidak boleh dibandingkan dengan Mahathir. Tetapi Anwar telah memimpin negara sebaik mungkin dengan rakyat memperoleh manfaat yang besar daripada kepimpinan dan pentadbirannya.

Perdana menteri ke-10 bukan saja perlu menyelesaikan masalah-masalah negara yang tertunggak akibat polisi dan perbuatan perdana menteri terdahulu seperti Najib tetapi juga semua perdana menteri sebelumnya termasuk Mahathir dan Tunku.

Semua perdana menteri bukan saja mewarisi pencapaian tetapi juga masalah. Sebab itu berlaku gerakan Reformasi pada tahun 1998 sebagai azam untuk memperbetulkan kesemua perkara yang dianggap salah di dalam negara, iaitu lantaran polisi-polisi yang diperkenalkan atau tidak difikirkan pada zaman Tunku, Tun Razak, Hussein Onn dan Mahathir.

Tetapi agenda Reformasi yang sebenar amat besar. Ia bukan saja menyentuh pemberantasan korupsi dan nepotisme tetapi juga rombakan dalam semua bidang kehidupan bernegara yang pastinya melibatkan semua kementerian. Dari undang-undang, kesihatan, pendidikan, pertahanan, keselamatan, ekonomi, pertanian dan pelbagai perkara termasuk dari segi budaya dan nilai-nilai kehidupan rakyat.

Agenda Reformasi amat besar hinggakan ia menjadi suatu idealisme. Tentulah pencapaiannya amat sukar tetapi perjuangan dan usaha untuk itu adalah suatu yang memberi makna kepada berkehidupan bernegara. Bukan saja pencapaiannya memerlukan perancangan tetapi juga pengisian intelektual adalah suatu yang perlu.

Aspirasi Reformasi ini terserlah dalam manifesto-manifesto bersama Barisan Alternatif pada PRU tahun 1999, 2004, 2008 dan Pakatan Rakyat pada PRU tahun 2013. Ketika DAP tidak menyertai Barisan Alternatif pada PRU tahun 2004 dan 2008, agenda Reformasi tetap ada dalam manifestonya.

Tetapi gerakan Reformasi tidak dapat melaksanakan programnya kerana parti yang memikulnya iaitu PKR dan sekutu-sekutunya iaitu DAP dan PAS ketika itu kalah dalam semua pilihan raya umum.

PAS melancarkan gerakan untuk perubahan negara apabila mereka memperoleh kepimpinan baharu pada tahun 1982. Apa yang disebut sebagai Tajdid Hadhari (Perubahan Bertamadun) adalah “Reformasi versi PAS” semasa parti itu bawah kepimpinan Yusof Rawa, Fadzil Noor dan Nik Aziz Nik Mat. Konsep “negara Islam” yang diperjuangkan pada masa itu bersifat inklusif, tidak rasis dan amat menentang korupsi. Pendirian PAS amat bertentangan dengan Umno yang dianggap sebagai berfikiran “asabiah”.

Apa yang dimaksudkan dengan “asabiah” bukanlah membela kaum sendiri semata-mata, tetapi mempertahankan anggota kaum atau puak sendiri walaupun ia jelas salah. Contohnya jika seseorang itu mempertahankan seseorang yang jelas korup hanya kerana ia adalah Melayu atau beragama Islam serta menjadi ahli Umno, maka itu adalah sikap “asabiah” yang ditentang.

Setelah ketiadaan Nik Aziz

Pada tahun 2015, setelah ketiadaan Nik Aziz, PAS meninggalkan PKR dan DAP untuk berbaik dengan Umno atas nama kaum.

Gerakan Reformasi hanya memperoleh kemenangan pada tahun 2018 apabila Pakatan Harapan memenangi pilihan raya. Tetapi masa itu PAS sudah meninggalkan pakatan dengan PKR, dan hanya pecahan PAS iaitu Amanah terus menyokong agenda Reformasi PKR bersama dengan DAP.

Tetapi pada tahun 2018, Anwar masih dalam penjara dan tidak dapat terlibat dengan pilihan raya. Maka kepimpinan PH berada pada tangan Mahathir dengan Bersatu berperanan besar untuk memenangi pilihan raya.

Namun begitu, agenda Reformasi tidak dibawa oleh Bersatu. Mereka hanya mahu menggantikan Umno yang dianggap sudah rosak akibat keterlibatan ahli-ahli politiknya dengan korupsi. Umno bawah Najib dianggap sudah menjadi kleptokrasi atau pemerintahan golongan pencuri atau koruptor.

Kalau melihat sejarah, cabaran-cabaran dahulu juga amat besar. Cabaran bagi Tunku adalah bukan saja usaha untuk mencapai kemerdekaan tetapi juga bagi mengalahkan komunis, menubuhkan Malaysia dan memisahkan Singapura.

Maka Malaysia sentiasa bergolak. Pada zaman Mahathir, pergolakan juga terus berlaku. Pelbagai krisis muncul. Daripada kedatangan pelarian Vietnam sehinggalah krisis dengan layanan. Masalah bukan saja muncul dari luar tetapi perbalahan dalam Umno juga melelahkan. Walaupun BN menang majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999 tetapi dalam Umno berlaku pergaduhan besar. Dari perbalahan dengan Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah hinggalah kepada Anwar. Itu belum dikira pergolakan dalam MCA dan MIC. Maknanya pergolakan sentiasa berlaku. Itu merupakan sifat politik Malaysia. Jadi tidak usahlah kata hanya pada zaman Anwar muncul pelbagai masalah politik.

Bezanya ialah pada teknologi. Kalau dahulu hanya ada akhbar dan televisyen yang dikawal oleh kerajaan atau parti-parti BN. Rakyat hanya memperoleh maklumat politik secara berkala, sama ada pagi-pagi melalui akhbar atau berita radio dan televisyen. Tekanannya kepada masyarakat tidaklah seberat sekarang.

Tetapi pada masa ini, ada media sosial dan AI. Komentar politik dibuat sepanjang masa oleh pelbagai orang, tanpa mengira kelayakan mereka. Dengan itu cukup mudah fitnah dan berita palsu tersebar dan sukar untuk membendungnya. Dalam keadaan ini masyarakat mudah terpengaruh dengan tekanan maklumat. Maka dirasakan bahawa negara dalam keadaan buruk dan dirundung masalah. Sedangkan perkara itu tidak benar. Dalam keadaan ini, gerakan Reformasi menghadapi cabaran lebih besar. Ini kerana adalah lebih mudah untuk sesiapa memainkan sentimen perkauman.

PM tanpa mandat penuh

Dalam pilihan raya umum lalu, PH tidak dapat majoriti dan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan. Sudah tentu perdana menteri tidak memperoleh mandat penuh bagi melaksanakan agenda Reformasi kerana perlu juga menjaga kepentingan anggota Kerajaan Perpaduan yang lain, khususnya BN yang tentu menolak aspirasi PH itu.

Kini, aspirasi Reformasi bukan saja dipikul oleh PH tetapi juga parti Bersama. Mereka yang tidak berpuas hati dengan PH kerana tidak melaksanakan Reformasi sepenuhnya memilih menyertai Bersama, sebagai parti pecahan kepada PKR. Ada juga orang yang bukan penyokong PKR atau PH memilih untuk bersama Bersama.

Walaupun Anwar tidak dapat melaksanakan Reformasi sepenuhnya, tetapi kejayaan beliau dalam memimpin negara ini tidak boleh dinafikan. Malah para pembangkang terpaksa menggunakan isu perkauman untuk melawan Anwar dan PH. BN pula seringkali hendak memperkecilkan kedudukan mereka sebagai anggota Kerajaan Perpaduan Madani. Sedangkan kejayaan atau kegagalan kerajaan adalah juga dipikul bersama PH, BN, GPS dan GRS.


ZIN MAHMUD wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.