Kemelut N Sembilan: MB, Exco bertugas seperti biasa
Di tengah-tengah kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan, Menteri Besar Ismail Lasim dan barisan exco negeri itu terus menjalankan tugas seperti biasa hari ini, walaupun pelantikan mereka dikatakan telah "dibatalkan" oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Malaysiakini difahamkan Ismail dan 10 anggota exco negeri masih meneruskan tugas dan mempunyai akses ke pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan di Seremban.
Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar Ismail, Mohd Fasha Musthafa, yang berkata urusan pentadbiran negeri berjalan seperti biasa hari ini.
"Tiada halangan. Semua ahli MMK (exco) bertugas macam biasa ikut jadual masing-masing," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, laporan media menyebut bahawa tiada anggota pentadbiran negeri memasuki bangunan pejabat berkenaan setakat pagi, beberapa jam selepas Istana mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan anggota exco.
Istana merujuk Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, yang menyatakan bahawa anggota exco memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, Ismail kemudian mempertikaikan tindakan Yang di-Pertuan Besar itu dan menyifatkannya sebagai "tidak mengikut Perlembagaan".
Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail dilaporkan masih belum menghadap Tuanku Muhriz bagi membincangkan polemik yang berlaku di Negeri Sembilan.
Perkembangan itu berlaku susulan laporan media semalam yang mendakwa pemimpin Umno itu telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Besar di istana baginda di Kuala Lumpur, bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"Tiada. Saya dan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pernah dititah untuk menghadap.
"Kami tahu hanya daripada media sahaja," kata Ahmad Zahid seperti dialporkan Harian Metro.

