Orang N Sembilan enggan 'pihak luar' masuk campur kemelut istana
Sudah lebih 150 hari krisis diraja Negeri Sembilan berlarutan. Dalam tempoh itu, penduduk semakin jemu dan kecewa kerana pertikaian yang melibatkan institusi diraja negeri tersebut masih belum menemui titik penamat.
Tinjauan Malaysiakini pada Isnin mendapati rata-rata penduduk yang ditemui mahu kemelut itu diselesaikan secara baik, melalui muafakat secara dalaman.
Pertikaian itu tercetus susulan tindakan Undang Yang Empat yang dipertikaikan menurunkan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beberapa penduduk yang ditemui di sekitar kawasan Rantau dan Paroi, sependapat bahawa pihak luar, khususnya ahli politik, tidak sepatutnya mencampuri pertikaian yang melibatkan adat dan tafsiran perlembagaan negeri.
Namun, mereka mempunyai pandangan berbeza mengenai pihak yang sepatutnya mengalah bagi menamatkan krisis tersebut.
Bagi bekas pensyarah universiti, Roslan Ibrahim, 64, urusan itu sepatutnya diselesaikan oleh pihak yang berkaitan di peringkat negeri tanpa campur tangan kerajaan persekutuan.
/file/attachments/orphans/voxpop1_667778.png)
"Biar perut-perut (unit dalam adat) dan menteri besar (Ismail Lasim) uruskan. Macam Ketua Setiausaha Negara tak boleh campur, biar menteri besar uruskan. Dia menteri besar, dia faham," katanya kepada Malaysiakini.
Jabatan Peguam Negara sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan sebanyak dua kali bagi membantah tindakan kerajaan negeri.
Dalam kenyataan pertama, jabatan itu menolak pengisytiharan exco pada minggu lalu yang mengesahkan proklamasi pada 19 April oleh Undang Yang Empat berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Kenyataan kedua pula membantah tindakan kerajaan negeri menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri selepas kedua-duanya enggan mewartakan pengisytiharan pelantikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yamtuan baru.
Ketua Setiausaha Negara setakat ini belum tampil bagi menjawab isu berkenaan.
Namun, tidak semua penduduk berpendapat bahawa krisis tersebut harus diselesaikan oleh Ismail selaku menteri besar.
"Sepatutnya orang politik tak payah masuk campur," kata rakan Roslan, Habibul Rahman Azizul Rahman.
/file/attachments/orphans/voxpop14_813748.png)
"Bukan hak orang politik atau exco, (mereka) tak ada kuasa pecat Yang di-Pertuan Besar. Ini cerita Yang di-Pertuan Besar dengan Undang Yang Empat," kata peniaga makanan itu.
Habibul, yang menyokong Bersatu, turut mengkritik Ismail kerana berubah pendirian.
Menurutnya, Ismail pada awalnya menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz dan mendakwa dirinya ditekan untuk menandatangani pengisytiharan menurunkan baginda daripada takhta, sebelum kemudiannya mengambil tindakan bertentangan.
Pesara guru, Normali Abdul Ghani, juga berpandangan bahawa tindakan kerajaan negeri menjadikan keadaan semakin rumit.
"Kerajaan (negeri) nampaknya semakin mengeruhkan kemelut yang sedia ada, bukan nak bagi selesai," kata penduduk Paroi itu.
Normali enggan mendedahkan parti yang diundinya dalam pilihan raya lalu.
Siapa patut menduduki takhta?
Dalam pada itu, tinjauan Malaysiakini mendapati pandangan penduduk mengenai siapa yang patut menjadi Yamtuan turut dipengaruhi kecenderungan politik masing-masing.
Penyokong BN yang ditemui cenderung menyokong Tuanku Nadzaruddin, manakala mereka yang menentang BN menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz.
Perbincangan secara terbuka mengenai kerabat diraja sebelum ini agak jarang berlaku di Malaysia, kecuali dalam hal yang berkaitan dengan pujian terhadap institusi beraja.
Namun, perkembangan media sosial menjadikan perbincangan mengenai institusi diraja semakin terbuka, termasuk dalam kalangan penduduk Negeri Sembilan.
Habibul dan Normali menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz.
Bagi Normali, Tuanku Muhriz wajar terus berada di atas takhta.
"Saya tak bersetuju dengan usaha menurunkan Tuanku Muhriz sebab takhta itu memang milik Tuanku Muhriz sejak zaman Tuanku Jaafar lagi. Jadi kekalkan Tuanku Muhriz di atas takhta," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/40e8ad4f0a7339be8d61ef23d275b09c.png)
Pada 1967, selepas kemangkatan ayahanda Tuanku Muhriz, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman, baginda dilaporkan menjadi antara calon untuk menggantikan ayahandanya sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Namun, kerana ketika itu baginda baru berusia 19 tahun, Undang Yang Empat memilih bapa saudara tirinya, Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman, sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Tuanku Muhriz kemudian menaiki takhta pada 2008 selepas kemangkatan Tuanku Jaafar.
Roslan pula berpendapat bahawa Ismail pada awalnya mengambil pendirian yang betul apabila mengikrarkan taat setia kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan semasa menunjukkan bahawa satu-satunya jalan keluar daripada pertikaian itu adalah dengan Yamtuan berundur daripada takhta.
Dua lagi pengundi BN yang ditemui, peniaga Zarizan Jani, 69, dan bekas pekerja kilang Zulkifli Md Yassin, 57, tidak menyatakan sokongan secara terbuka kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya, mereka menegaskan bahawa penyelesaian krisis perlu berlandaskan adat dan proses yang sepatutnya.
Penduduk mahu perpaduan dipelihara
Walaupun mempunyai pandangan berbeza mengenai krisis tersebut, penduduk yang ditemui tidak mahu pertikaian itu berpanjangan.
Pekerja am, Mariayi Perumal, bimbang kemelut itu akan memberi kesan kepada rezeki dan kehidupan rakyat biasa jika tidak segera diselesaikan.
/file/attachments/orphans/voxpop12_574589.png)
Pelajar universiti, Zahin Hakimi Mohd Faidzal, pula berkata perkara yang paling penting ketika ini ialah mengekalkan kestabilan.
Bagi Latifah Idris, 74, dari Kampung Nyatoh, pula krisis tersebut boleh memecahbelahkan masyarakat jika tidak ditangani dengan segera.
“Kita ni Melayu sama Melayu, nak bergaduh apa? Bersatu, pulihkan balik.
“Dulu tak macam ni.
“Kita bersama-sama bertanggungjawab membela rakyat, bina kerajaan, bina negeri elok-elok,” katanya.
/file/attachments/orphans/sdfgsdfsdfsdf_109151.png)
