Dikecam biadab, tak bertamadun - MB jawab bidasan Anwar
Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim menolak gambaran bahawa dirinya dan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta Yang di-Pertuan Besar.
Ismail menjawab teguran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan Ismail dan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai “biadab” dan “tidak bertamadun”.
Menteri besar itu berkata keputusan MMKN mengenai tindakan pentadbiran susulan proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat tidak bermaksud kerajaan negeri mengambil alih kuasa institusi berkenaan.
“Saya mengambil maklum kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semalam yang menyifatkan tindakan saya dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai biadab dan tidak bertamadun.
/file/attachments/orphans/anwar12_798168.png)
“Saya menghormati keprihatinan Yang Berhormat Perdana Menteri terhadap Institusi Diraja. Namun saya khuatir teguran tersebut berasaskan gambaran yang tidak lengkap tentang peranan sebenar menteri besar dan exco,” katanya pada sidang media di Seremban, hari ini.
Menurut Ismail, menteri besar dan exco tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang di-Pertuan Besar.
Sebaliknya, katanya, MMKN membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi berkenaan serta persetujuan terhadap tindakan pentadbiran susulan.
“Persetujuan MMKN terhadap tindakan pentadbiran susulan tidak bermaksud MMKN mengambil alih kuasa para Undang atau menjadi pihak yang membuat keputusan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya.
/file/attachments/orphans/test111_964810.png)
Ismail berkata Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan beraja yang tersendiri, berasaskan Adat Perpatih dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Yang di-Pertuan Besar tidak dipilih oleh Menteri Besar atau Kerajaan Negeri. Undang-Undang Tubuh memperuntukkan peranan khusus kepada Undang Yang Empat dalam pemilihan Yang di-Pertuan Besar, manakala perkara berkaitan adat serta proses yang menyentuh kedudukan institusi berkenaan hendaklah dilaksanakan menurut peruntukan Undang-Undang Tubuh dan melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa,” katanya.
Justeru, dia menolak dakwaan bahawa menteri besar atau exco mempunyai kuasa unilateral untuk menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
“Kerajaan Negeri tidak pernah mendakwa mempunyai kuasa sedemikian,” katanya.
Ismail berkata dia dan barisan exco tidak akan mencampuri siasatan, pertimbangan adat atau proses pemilihan yang berada dalam bidang kuasa pihak yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh.
/file/attachments/orphans/MediaMBNSasdad_288851.png)
Menurutnya, kesahihan proklamasi, pematuhan tatacara dan kesannya perlu ditentukan berdasarkan undang-undang berkenaan.
Dia turut menolak gambaran kemelut itu merupakan pertentangan antara kerajaan negeri dengan Yang di-Pertuan Besar.
Katanya, struktur tradisi pemerintahan Negeri Sembilan melibatkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta Dewan Keadilan dan Undang, sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh.
“Sebab itulah apa-apa kemelut yang melibatkan adat dan institusi tersebut tidak wajar dipermudahkan menjadi pertikaian politik antara Kerajaan Negeri dengan Istana.
“Ia jauh lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti atau individu,” katanya.
/file/attachments/orphans/fasdasdasdsd_348943.png)
Menurut Ismail, penyelesaian perlu berpandukan adat, Undang-Undang Tubuh dan institusi yang diberikan bidang kuasa oleh undang-undang.
“Persoalan yang perlu diselesaikan ialah pertikaian mengenai proses, bidang kuasa dan tafsiran terhadap tindakan institusi-institusi adat yang berkaitan.
“Perkara inilah yang sewajarnya diselesaikan melalui saluran yang diperuntukkan oleh adat dan Undang-Undang Tubuh, bukannya melalui tuduh-menuduh di ruang awam,” katanya.
Dalam menjelaskan pendiriannya, Ismail mendakwa kemelut institusi adat dan raja itu diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, bukannya berpunca daripada kerajaan semasa.
Dia turut mendakwa menteri besar ketika itu gagal melaksanakan tanggungjawab di bawah Undang-Undang Tubuh, termasuk menyempurnakan proses yang menurutnya perlu dilaksanakan, sehingga menyebabkan kemelut berlarutan dan semakin parah.
Ismail berkata kerajaan semasa menerima mandat dengan majoriti lebih dua pertiga kerusi DUN, yang disifatkannya merangkumi amanah untuk memulihkan kestabilan pentadbiran, mempertahankan keluhuran Undang-Undang Tubuh serta memelihara institusi adat dan raja.
Dia menggesa semua pihak menghormati mandat itu, yang menurutnya memberikan tanggungjawab dan kuasa eksekutif kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar, mengurus pentadbiran serta menjaga kebajikan rakyat.
“Tidak boleh mana-mana pihak menggunakan pertikaian institusi sebagai alasan untuk melumpuhkan pentadbiran negeri, menghalang keputusan eksekutif yang sah ataupun menjejaskan keupayaan Kerajaan Negeri memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Rakyat telah memberikan mandat. Mandat itu wajib dihormati,” katanya.
Mengenai kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Ismail berkata kerajaan mengambil serius soal tatakelola, kebertanggungjawaban serta kewajipan penjawat awam menjalankan tugas secara profesional, berkecuali dan selaras dengan undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, persoalan mengenai kedudukan kedua-dua pegawai itu perlu diselesaikan melalui proses undang-undang dan pentadbiran yang sewajarnya.
Ismail turut menggesa semua pihak, termasuk agensi dan pihak berkuasa Persekutuan, menghormati perkara yang terletak dalam bidang kuasa Negeri Sembilan menurut undang-undang dan adat.
Katanya, prinsip federalisme menuntut penghormatan terhadap sempadan kuasa kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah berasaskan hormat-menghormati, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, bukannya tekanan atau percubaan mengatasi bidang kuasa satu sama lain,” katanya.
Menurut Ismail, kerajaan negeri tidak mahu mengambil alih tugas institusi adat dalam menentukan pertikaian berkaitan adat dan institusi raja.
Sebaliknya, katanya, pertikaian itu perlu diselesaikan berdasarkan Undang-Undang Tubuh dan Adat Perpatih melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa, termasuk Undang Yang Empat serta Dewan Keadilan dan Undang mengikut fungsi masing-masing.
“Apa jua keputusan muktamad yang dibuat secara sah oleh institusi yang mempunyai bidang kuasa menurut adat dan Undang-Undang Tubuh akan dihormati oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Ismail berkata kerajaan negeri akan terus mentadbir dan menjaga kepentingan rakyat, di samping mempertahankan keluhuran undang-undang serta kemuliaan institusi adat dan raja Negeri Sembilan.
“Kerajaan Negeri tidak mencari pertelingkahan dengan Institusi Raja. Kerajaan juga tidak mahu adat dijadikan gelanggang politik.
“Namun pada masa yang sama, jangan jadikan kemelut adat dan institusi sebagai alasan untuk mengganggu, mengintimidasi atau menyekat sebuah Kerajaan Negeri yang sah daripada melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya.
Dia berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan pentadbiran dan perkhidmatan kepada rakyat terus berjalan, selain memelihara kemuliaan institusi adat dan raja Negeri Sembilan.
“Biar mati anak, jangan mati adat.
“Adat hendaklah dipertahankan, perlembagaan hendaklah dijunjung, mandat rakyat hendaklah dihormati dan institusi hendaklah dipelihara,” katanya.
/file/attachments/orphans/MenteriBesarNegeriSembilanDatukIsmailLasimChiefMinisterpc240926ddd_387426.png)
