KOLUM | Ganja, rokok dan telefon bimbit
KOLUM | Pada minggu ini kita heboh dengan berita Yasin dibebaskan dari penjara dan tahanan. Berita ini sambungan kisah Yasin yang bermula empat tahun dulu.
Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman ditangkap oleh pihak polis pada 24 Mac 2022. Dia ditahan dalam satu serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Yasin dihadapkan dengan tiga pertuduhan berkaitan dadah termasuk menanam 17 batang pokok ganja.
Portal berita RTM pada 2 Ogos 2024 melaporkan bahawa Yasin dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi. Tuduhan itu bersangkutan dengan ganja.

Berita Yasin ini jadi heboh. Sosok ini seorang penyanyi dari kumpulan Brothers yang membawa genre nasyid.
Selebriti dan ganja pasti jadi heboh. Amat heboh. Lebih heboh daripada Jom Heboh. Heboh ini bukan hanya kerana Yasin menanam ganja dan menghisap ganja. Tapi ada cerita di belakang pokok ganja.
Kes pokok ganja Yasin ini menjadi bandingan dengan apa yang terjadi kepada kes anak Vincent Tan yang juga dituduh menanam pokok ganja.
Ini berlaku pada tahun 2019, lebih awal dari masa Yasin ditangkap. Pada 10 Februari 2020, anak Vincent Tan ini dijatuhkan hukuman yang lebih ringan (bukan hukuman mati atau dirotan atau penjara seumur hidup) oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, sekali gus membolehkan dia tidak ditahan di penjara.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/9e0b2ee3886c1128500eff530eab14f7.jpg)
Kemudian tahun 2022 anak Vincent Tan ini dibebaskan oleh Peguam Negara yang baru. Mengikut laporan media, sang peguam membaca laporan ini sekali lagi.
Sila ambil perhatian saya menggunakan nama anak Vincent Tan kerana nama si Penanam Ganja ini tidak muncul. Jarang muncul. Internet yang saya godek juga menggunakan istilah: anak Vincent Tan.
Justeru gambar si Penanam Ganja yang didakwa ini diapit oleh mata-mata ketika dibawa ke mahkamah – seperti gambar Yasin – tidak saya temui.
Ayah kepada individu didakwa tanam ganja ini ialah Vincent Tan, seorang cukong yang berpengaruh dalam badan politik Malaysia.
Justeru saya tidak hairan malah bersetuju dengan kata-kata dari Yasin bahawa sistem penjara ini bergantung pada wang dan pengaruh. Ada wang ada pengaruh semua boleh. Semua beres.
/file/1282/1700ad1eb7e7721f4153b47b7bdb9de0.jpeg)
Mustahil warga Malaysia minggu ini tidak mengikuti berita Datuk Seri Najib isteri Datin Seri Rosmah... oops maaf... suami Datin Seri Najib bekas Perdana Menteri Malaysia diampunkan. Amin.
Mustahil warga emas enam siri atau warga tujuh siri akan terlupa surah Abdullah Ang.
Untuk Gen Z, mari sini ambo nak royak: Abdullah Ang merupakan seorang ahli perniagaan terkemuka dan bekas tokoh korporat Malaysia yang menjadi tumpuan skandal besar berkaitan keistimewaan luar biasa di penjara pada tahun 1980an.
Banduan ini ditahan di dalam Penjara Pudu dan kemudiannya di Penjara Kajang. Banduan ini mendapat layanan amat istimewa. Malah ada yang terserempak dengan malaun ini di luar penjara. Siang di luar malam masuk penjara.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/04/50696b829babda846bcee9c88356fff6.jpg)
Malaun ini dilaporkan ada keistimewaan khas: Laporan dan pihak media mendedahkan bahawa sel penjaranya dilengkapi dengan kemudahan mewah, termasuk permaidani, peti sejuk, malah sebuah katil air.
Justeru kisah dan surah ini memperkuatkan lagi kejujuran dan kebenaran kata-kata Yasin.
Dengan serta-merta apa yang disuarakan oleh Yasin telah dinafikan oleh pihak penjara.
Jabatan Penjara Malaysia sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut, menegaskan bahawa mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan sentiasa fokus kepada program pemulihan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/c0804f64df589dd65f8ecea83e1e6dd7.jpg)
Penafian ini tidak mengejutkan saya. Malah saya akan terkejut lagi tergamam jika ucapan dan kata-kata Yasin itu tidak dinafikan.
Penafian keras ini pastilah ada berkaitan dengan cerita rakyat yang bersangkutan dengan ganja dan dadah yang boleh didapati di penjara.
Dalam hal ehwal penjara ini saya merasa saya ada pengalaman. Saya boleh dan berani klaim bahawa saya telah memasuki lebih dari 14 buah penjara, lokap dan tempat tahanan.
Malah saya berani klaim saya adalah satu-satunya warga Malaysia keturunan Sakai Biduanda yang pernah ditahan dalam beberapa lokap dan penjara di luar negara.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/22b67785b0d7395a0f8c4ea71a225b03.jpg)
Pertama kali saya ditahan pada September 1974 di lokap Johor Bahru. Ini bersangkutan dengan kes setinggan Tasek Utara. Kemudian berpindah ke Penjara Air Molek untuk tahan reman sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Pengalaman pertama dalam penjara ini tidak menjadikan saya bijak untuk mengenal siapa dan apa dalam struktur sistem penjara.
Di Australia saya juga ditahan. Awalnya ditahan kerana lebih masa yang dibenarkan oleh visa. Saya dikurung di Pusat Tahanan Tullamarine, Melbourne.
Bila saya mengajukan suaka politik pihak berwajib Australia mengalih tuduhan. Bukan dakwaan lebih masa lawatan tapi terlibat dalam demo anti-Lee Kuan Yew yang berlaku empat bulan sebelum saya ditahan.
'Ada sen lu dapat habuk'
Satu minggu dalam lokap di Melbourne tidak banyak ilmu penjara yang saya pelajari. Ini sama seperti pengalaman saya ditahan di Moscow, Rusia. Kesalahan saya melintas Rusia dalam perjalanan ke Frankfurt, Jerman dengan menggunakan pasport palsu dari Siam.
Bila saya ditahan di Bombay, India maka saya belajar banyak perkara. Duduk dalam lokap Bombay Police Station memberi saya kuliah asas untuk mengenal selok-belok penjara.
Bila dihantar ke Arthur Road Prison maka kuliah pengenalan naik ke taraf ijazah. Dalam YouTube Arthur Road Prison ini tersenarai antara 10 buah penjara yang ganas di dunia.
Kadang-kadang saya tersenyum bangga kerana telah berkuliah dan berijazah dari penjara ini.
Di penjara Arthur Road saya lihat ganja dan alkohol masuk. Ada duit semua jadi. Alkohol dalam tiub basikal dibaling masuk melintasi tembok penjara.
Malah taiko dan kepala samseng Bombay yang ditahan di Blok Dua memiliki keistimewaan sama seperti yang dimiliki oleh Abdullah Ang. Malah sang isteri juga boleh bercengkerama lama.
Mungkin semua menuduh: Ini India, bro!
Tidak. Ini bukan kerana penjara di India. Ini budaya penjara. Di mana ada kuasa di situ ada rasuah. Ada duit semua beres. Lagi ketat kuasa lagi tebal rasuah.
Bila saya ditahan di lokap Jinjang, Dang Wangi dan Jalan Stadium perkara sama saya perhatikan berlaku. Ganja dan dadah lebih senang ditemui dalam lokap dan di Pusat Serenti dari di Brickfields.
Kurang yakin dengan apa yang saya tulis ini?
Jawapannya mudah. Sila cari bekas residen pusat pemulihan dadah (Serenti). Sila tanya pengalaman dan cara mendapat ganja dan dadah ketika mereka ditahan.
Saya bukan graduan pusat Serenti. Saya juga mendapat maklumat dan mendengar kuliah dari kenalan yang berijazah dari pusat Serenti.
"Lu ada sen lu dapat abuk. Lu tak ada sen lu duduk depan besen. Lu ada sen semua pil lu boleh pesan."
Ketika saya ditahan di bawah ISA – saya masih lagi perokok tegar. Rokok keretek Suria adalah teman rapat saya. Bila ditahan di bilik sulit selama dua bulan – saya tidak menghisap rokok. Ini lokap sulit lagi ketat. Duduk sendirian dalam bilik. Cicak, semut dan lipas jadi kawan. Rokok tinggal kenangan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/10/01cb90aa22f4ed34112d58f2415b0fde.jpg)
Bila saya dihantar ke Kamunting di Taiping saya menemui jalan untuk kembali merokok. Saya berkenalan dengan tahanan dari Aceh. Dia ditahan di dalam Blok Dua dan saya di dalam Blok Tiga Kem Kamunting.
Tahanan dari Aceh ini ada jalan untuk mendapat rokok. Bagaimana dia dapat rokok ini saya tidak mahu tahu. Yang penting kami buat janji. Dia akan balingkan rokok ke Blok Tiga. Dan saya akan balingkan bawang dan buah ke Blok Dua.
Ilmu membaling barang larangan dalam penjara ini saya pelajari dari Arthur Road Prison.
Wajib saya rakamkan di sini sebagai fakta sejarah ketika ditahan di Kamunting selama dua tahun hanya saya Hishamuddin Rais yang tidak ada telefon bimbit untuk berhubung dengan orang luar.
Lima tahanan ISA yang satu blok dengan saya semua menggunakan telefon bimbit. Ini fakta sejarah.
Malah Anwar bin Ibrahim yang ketika itu dalam penjara juga memiliki telefon bimbit. Betul ke? Atau fitnah tohmahan?
Sesudah bebas dari Kamunting satu petang di Bangsar – Ezam Mat Noor telah menelefon Anwar bin Ibrahim yang ketika itu dalam penjara.
Ezam dan saya ketika itu berada di dalam Cafe Madam German. Ezam telah menghulurkan telefon itu kepada saya. Saya hanya bertanya khabar itu saja.
Jika Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution membaca tulisan saya ini yakinlah apa yang dikatakan oleh Yasin itu benar, semua benar belaka.
Saifuddin yang tidak pernah masuk penjara wajib mengetahui bahawa di dalam sistem penjara ini siapa ada duit ada pengaruh semua boleh diparuh. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/attachments/orphans/YasinSulaiman_102334.png)
