'Yang tak sakau disuruh letak jawatan' - Anwar ulas keputusan Loke
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempersoalkan pihak yang meraikan keputusan Menteri Pengangkutan Anthony Loke meletakkan jawatan.
Anwar menyorot bahawa Setiausaha Agung DAP itu menjalankan tugas sebagai menteri dengan baik.
"Apa masalah kerja dia? Kerja dia baik. Dia baru bagi surat (letak jawatan) semalam. Apa masalah Anthony Loke?
"Masalahnya rasuah, rompakan dan sakau. Yang (masalah ini) kamu tak bangkit. Tapi, bangkit, minta dia letak jawatan, untuk apa?
"Yang tak sakau nak suruh letak jawatan. Saya nak tanya betul-betul negara ini buat nak macam mana?
"Soal rasuah kita padam, (tapi) bincang pasal Anthony Loke letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malaysia Professional Day di Pusat Konvensyen KLGCC, Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar bagaimanapun berkata dia akan berbincang dengan Loke mengenai perkara itu.
Teradahulu, Loke hari ini mengesahkan dia sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri pengangkutan.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata dia bertemu perdana menteri semalam untuk menyerahkan surat itu, namun diminta terus memegang jawatan buat masa ini sementara menunggu keputusan muktamad.
“Perdana menteri akan membuat keputusan, tetapi saya juga berkata (kepada Anwar) perlu ada garis masa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2026 di Kuala Lumpur.
Ditanya tarikh peletakan jawatannya akan berkuat kuasa, Loke berkata: “Apabila (bekas perdana menteri) Najib (Razak) dibebaskan dan pulang ke rumah. Pada hari dia pulang ke rumah, peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa," katanya.
Pada 19 Sept, Loke mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan sebagai reaksi terhadap pengampunan bersyarat kepada bekas perdana menteri Najib Razak. Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
Pengampunan itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Anwar sebelum ini berkata dia dimaklumkan sendiri oleh Loke mengenai keputusan untuk meletak jawatan dan akan mendengar pandangannya sebelum membuat keputusan.
Dia turut menegaskan tidak mahu terburu-buru, dan mempersoalkan cubaan pihak tertentu mendesak DAP keluar daripada kerajaan jika Loke berundur.
/file/attachments/orphans/AnwarIbrahim1_441090.png)
