Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan penjelasan mengenai perubahan tempoh masa tambahan dalam perlawanan Indonesia-Bangladesh di Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.

Ini selepas tempoh masa tambahan perlawanan itu yang pada awalnya ditunjukkan dua minit kemudian berubah kepada tujuh minit.

"FAM memandang serius isu perubahan tempoh masa tambahan ini.

"Pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Badan induk bola sepak negara itu juga berkata bahawa perkara tersebut wajar diberi perhatian kerana perlawanan itu melibatkan persaingan menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, yang turut memberi kesan kepada pasukan yang layak ke final.

Justeru, FAM menggesa FIFA menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan itu dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, FAM menegaskan permohonan itu bukan bertujuan untuk mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul.

Untuk rekod, dalam perlawanan terakhir kumpulan A ketika Indonesia mendahului 7-1, pegawai keempat Yusuke Ohashi dari Jepun mengangkat papan tanda dua minit masa tambahan.

Bangladesh kemudian menjaringkan gol kedua menerusi Farhaan Ali Wahid pada minit ke-90+1, sebelum pengadil mengangkat semula papan masa tambahan, kali ini tujuh minit.

Dalam tempoh itulah Indonesia menjaringkan dua gol menerusi Kevin Diks (90+6) dan Mitchell Baker (90+7). Dua gol tersebut mengubah kedudukan di puncak Kumpulan A dan memastikan Indonesia mara ke final.

Harimau Malaya menewaskan Singapura 6-0, manakala Indonesia menang 9-2 ke atas Bangladesh.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak cukup untuk Malaysia mengekalkan kedudukan teratas. Indonesia menamatkan juara kumpulan A selepas menjaringkan 11 gol, berbanding sembilan gol oleh Malaysia.

Dalam perlawanan yang sama, Mitchell Baker menjaringkan lima gol untuk Indonesia. Pasukan naib juara Kumpulan A dan B dijadualkan bertemu dalam perebutan tempat ketiga pada 5 Oktober di Stadium Gelora Bung Karno.