JPJ gantung perkhidmatan Kumpulan MyEG mulai 5 Okt
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai Ejen Pemungut bagi pihak JPJ, berkuat kuasa 12.01 pagi, 5 Okt ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan, serta kedudukan obligasi yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.
“Selaras dengan keputusan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai tarikh berkenaan.
“JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aedy Fadly berkata bagi tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang telah dibuat melalui saluran MYEG sebelum 5 Okt, ia masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.
“Tempahan baharu yang dibuat mulai 5 Okt 2026, urusan tempahan dan pelaksanaan ujian hendaklah dibuat melalui Pusat Ujian KPP yang disediakan di Institut Memandu di seluruh Malaysia,” katanya.
Aedy Fadly berkata bagi pembayaran saman yang melibatkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, kemudahan pembayaran akan disediakan melalui Unit Mobile JPJ yang ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor, bermula 8 pagi hingga 10 malam.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan, bagi memastikan setiap urus niaga dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.
“JPJ kekal komited untuk memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan setiap urusan dilaksanakan secara teratur, telus dan berintegriti,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/02/5e230ea9be223968669c1d87c9357add.jpg)
